MUAR – Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Alza dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 127.9, Lebuh Raya arah Selatan berhampiran Pagoh di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 2.13 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Purushothaman berusia 33 tahun disahkan maut di lokasi kejadian setelah dibawa keluar oleh orang awam yang khuatir mangsa terperangkap dalam kenderaannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, akibat kemalangan itu, kenderaan dipandu mangsa musnah terbakar sehingga 90 peratus.
“Setibanya pihak bomba di tempat kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah treler membawa muatan pasir. Kemalangan mengakibatkan kenderaan dipandu mangsa terbakar dan orang awam berusaha menyelamatkan mangsa yang berada dalam kenderaannya.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, seramai tujuh anggota dari BBP Pagoh dengan sebuah jentera jenis FRT dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula air daripada tangki jentera. Operasi kemudiannya tamat pada pukul 3.29 pagi tadi,” katanya.- K! ONLINE