fbpx

KL City lengkapkan ‘kisah dongeng’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

DEBARAN kemuncak Piala Malaysia semakin dirasai selepas berakhirnya saingan separuh akhir, Sabtu lalu dengan aksi final bakal mempertemukan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu Kuala Lumpur City di pentas final malam esok.

Paling penting, siapa sahaja yang bakal bergelar juara akan mencipta sejarah unik terutama apabila edisi kejohanan bola sepak tertua Asia Tenggara itu memasuki edisi ke-100 tahun.

Siapa boleh lupakan kejutan yang dipamerkan oleh skuad Warga Kota yang mengharungi liku-liku getir sebelum melangkah ke pentas final dengan menying­kirkan dua pasukan berstatus negeri, Selangor FC dan Melaka United pada pusingan terdahulu.

Di bawah bimbingan penge­ndali import Croatia, Bojan Hodak, pasukan KL City dilihat memiliki aura tersendiri untuk meneruskan ‘kisah dongeng’ mereka apabila bertemu dengan pasukan elit negara, JDT di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti.

Di atas kertas, skuad KL City sememangnya sudah dahagakan kejayaan terutama selepas lebih 32 tahun tidak menjuarai Piala Malaysia dengan kali terakhir dimenangi pada edisi 1989.

Bekas penyerang pasukan KL ketika itu, Fandi Ahmad optimis mereka mampu bangkit untuk mencipta kejutan tersendiri meskipun di atas kertas tidak le­takkan selaku pilihan utama.

“Syabas, alhamdulillah, sudah tiba waktu KL bangkit. Tahun ini KL banyak peningkatan dan perubahan daripada barisan pengurusan hingga pemilihan pemain. Tahniah.

“(Mengenai peluang untuk bergelar juara) saya harap pasukan harus yakin dan kerja lebih keras kerana untuk mendakap Piala Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah,” kata legenda bola sepak Singapura itu.

Berdasarkan statistik, perlawanan final nanti dijangka seimbang memandangkan kedua-dua pasukan memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.

KL City mencipta rekod sensasi apabila tidak pernah tewas sepanjang musim ini di laman sendiri selain turut memiliki benteng kebal yang diketuai oleh pertahanan import, Giancarlo Gallifuoco dan Kenny Pallraj.

JDT pula kita tahu mereka telah mendominasi saingan Liga Malaysia apabila cemerlang menjuarai trofi Liga Super buat kali kelapan berturut-turut sejak 2014.

Di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismali Sultan Ibrahim, skuad Harimau Selatan juga pernah menjuarai trofi Piala Malaysia sebanyak dua kali pada edisi 2017 dan 2019.

Sudah tentu kelab gergasi Malaysia itu mahu mengekalkan trofi tersebut selepas saingan pada edisi 2020 dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.

Dalam masa sama, penasihat KL City, Tan Sri Annuar Musa percaya kekuatan ‘pemain ke-12’ boleh menjadi pemangkin semangat dalam usaha mendukung pasukan pada pertemuan di hadapan kira-kira 20,000 penyokong nanti.

“Saya berharap penyokong dan warga KL City akan penuhi stadium dan beri sokongan kepada pasukan kita,” katanya dalam satu ciapan ringkas.

Sebagai rekod, KL mara ke final dengan menyingkirkan Sang Kancil menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 pada separuh akhir selepas kedua-dua pa­sukan terikat dengan agregat 2-2.

JDT pula menumpaskan Terengganu FC menerusi agregat 4-1 selepas membenam skuad Penyu 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada separuh akhir kedua.

Siapa sahaja yang bakal bergelar juara, bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi dan buat penyokong, patuhilah prosedur operasi standard untuk mencegah penularan Covid-19. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI