fbpx

Kenaikan harga barang dikesan di Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDNHEP negeri Perak semasa melakukan pemeriksaan harga barang di sebuah premis di Manjung baru-baru ini.

IPOH – Sebanyak 57 notis pengesanan maklumat barangan dan 136 surat pemberitahuan semakan harga barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada peniaga di negeri ini kerana disyaki mencatut.

Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Perak sepanjang bulan ini sehingga Sabtu lalu.

Pengarah KPDNHEP negeri Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, hasil pemantauan pihaknya mendapati berlaku kenaikan harga pada barangan pengguna sejak beberapa minggu lalu.

Menurut beliau, kenaikan harga dikesan pada sayur-sayuran antaranya kubis bunga, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau serta ayam dan telur.

“Seramai 176 penguatkuasa KPDNHEP negeri Perak dan 79 pegawai pemantau harga telah ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan harian di setiap rantaian pengedaran melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negeri Perak.

“Dapatan awal mendapati kenaikan harga barangan keperluan tersebut dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti peningkatan kos pengeluaran, keadaan cuaca semasa yang tidak menentu dan ketidakseimbangan penawaran dan permintaan dalam pasaran,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

Tambah Saifullizam, tindakan boleh dikenakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah di bawah AKHAP 2011.

“Seksyen 14(1), AKHAP 2011 boleh mengenakan hukuman denda sehingga RM500,000 bagi syarikat dan RM100,000 bagi individu, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dalam pada itu, bagi memberi pilihan kepada pengguna ketika berbelanja, mereka disaran menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan oleh kementerian untuk membuat semakan harga barang,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI