DEMI memberi kegembiraan kepada penonton pada musim pandemik dan mahu menampilkan kelainan terhadap program hiburan, Netflix menyajikan buah tangan terbaharu berjudul New World.
Berbeza dengan program hiburan yang pernah popular di Korea Selatan, New World dibikin tanpa skrip dan penggambaran dilakukan sepenuhnya di sebuah pulau selama enam hari.
Menurut penerbit dan pengarah program tersebut, Cho Hyo-jin yang sebelum ini popular dengan program ciptaannya, Running Man, idea menghasilkan New World timbul ketika dia terfikir untuk menghiburkan penonton sepanjang musim pandemik.
“Semasa pandemik melanda, ramai yang tertekan oleh pelbagai faktor dan tidak dapat pergi bercuti. Jadi, saya berasa terpanggil untuk menghasilkan sebuah program yang boleh mencapai impian seseorang dalam suasana indah dan fantasi.
“Justeru, saya memilih untuk melakukan penggambaran selama enam hari di sebuah pulau. Secara tidak langsung, penonton juga akan berasa tenang dan nyaman melihat pemandangan yang indah,” ujar Hyo-jin dalam sidang akhbar yang berlangsung secara maya dari Korea Selatan.
Malah, demi mencapai impian setiap bintang yang terlibat dalam New World, pihak penerbitan sanggup membina sebuah set fantasi berskala besar.
“Setiap daripada mereka mempunyai rumah impian masing-masing dan kami cuba tunaikan sebaik mungkin. Eun Ji-won misalnya, mahu sebuah rumah bertema Harry Potter, manakala Lee Seung-gi mahukan kediaman seperti seorang Ketua Pegawai Eksekutif muda yang moden dan mewah,” kongsi Hyo-jin.
Lebih menarik, format rancangan tersebut berbeza daripada program hiburan popular lain.
Biarpun terdapat permainan dan misi yang perlu diselesaikan, peserta dapat menukar wang yang terkumpul kepada wang sebenar ketika meninggalkan pulau berkenaan.
“Apa yang membuatkan saya tertarik, walaupun sebuah program hiburan di dunia fantasi, namun pihak penerbitan menyelitkan isu realiti seperti pelaburan kewangan, pembelotan dan persahabatan.
“Memang langsung tiada skrip. Rasanya jika penonton dapat melihat rakaman yang sebenar mungkin ada antara mereka mahu membunuh kami (ketawa),” ujar pelakon dan pengacara popular, Lee Seung-gi.
Pengalaman baharu
Meskipun sudah popular sebagai hos dan peserta pelbagai program hiburan, penyanyi Kim Hee-chul buat pertama kalinya bersetuju untuk menjalani penggambaran di luar studio demi terlibat dalam naskhah terbitan Netflix.
Anggota kumpulan Super Junior itu menjelaskan, sepanjang lima tahun menjadi pengacara, New World merupakan program pertamanya yang menjalani penggambaran sepenuhnya di luar studio.
“Sebelum ini, semua program kendalian saya menjalani rakaman di dalam studio. Oleh itu, saya sudah selesa dengan pendingin hawa, skrip dan tetamu undangan yang hadir.
“Ini kali pertama saya terlibat dalam penggambaran di luar studio sepenuhnya.
“Saya sangat kagum dengan mereka yang selalu menjalani penggambaran di luar studio, mungkin sebab ini pengalaman pertama, saya dapat merasakan adrenalin dalam diri.
“Namun, saya tidak mahu selalu terlibat dalam program di luar studio, memadailah sekali dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.
Terlibat dalam sebuah program terbitan Netflix memberi makna yang cukup besar buat Hee-chul.
“Berbeza dengan program hiburan yang ditayangkan di televisyen yang mempunyai banyak sekatan dan peraturan, rancangan dalam Netflix memberi saya lebih kebebasan,” ujarnya.
Berbicara tentang New World kata Hee-chul, program tersebut cukup berbeza kerana langsung tidak mempunyai skrip.
“Selain semua orang memberi kejutan dengan sisi berbeza mereka daripada apa yang kita selalu lihat dalam televisyen, program ini langsung tidak mempunyai skrip.
“Saya akui sukar untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan program yang memiliki skrip, namun semua orang menjadi diri sendiri dan akhirnya saya faham kenapa skrip tidak diperlukan,” tutur Hee-chul.
Dalam pada itu, aktres Jo Bo-ah yang kali pertama menyertai program hiburan seumpama itu mengejutkan banyak pihak dengan sisi berbezanya yang sentiasa bijak mengambil peluang.
“Paling menakutkan saya adalah Jo Bo-ah dan Kai, mereka merupakan orang baharu dalam program hiburan, tetapi gaya mereka seperti sudah biasa.
“Malah, Bo-ah menggunakan bakat lakonannya dalam program ini. Jangan terpedaya dengan wajah ayunya kerana Bo-ah yang saya kenali di pulau sangat berbeza,” ujar Ji-won.
Bertempat di sebuah pulau fantasi, seramai enam orang selebriti popular bermain pelbagai permainan dan menyelesaikan misi yang akan menggugat persahabatan mereka.
Program yang sudah bersiaran sejak 20 November lalu dibintangi Lee Seung-gi, Kim Hee-chul, Kai EXO, Park Na-rae, Jo Bo-ah dan Eun Ji-won.