fbpx

Dewan Rakyat lulus RUU Perbekalan 2022 KBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KBS

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Keputusan itu diumumkan Timbalan Speaker sementara, Datuk Seri Azalina Othman Said selepas undian suara majoriti bersetuju dengan perbelanjaan RM622,025,400 kepada KBS.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut menjawab pertanyaan lisan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) yang meminta untuk dinyatakan sebab-sebab kegagalan atlet Malaysia memungut pingat emas di Sukan Olimpik dan adakah kegagalan tersebut daripada pihak Kementerian atau atlet sendiri.

Katanya, kementerian menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) telah melaksanakan Program Road To Tokyo 2020 sebagai persediaan atlet-atlet negara menghadapi cabaran untuk meraih pingat emas pertama negara di Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo.

“Akibat pandemik Covid-19, atlet negara mengharungi pelbagai cabaran terutamanya melibatkan aspek latihan, pendedahan kejohanan di peringkat antarabangsa dan penyertaan kejohanan kelayakan Olimpik serta Paralimpik 2020.

“Beberapa faktor telah dikenal pasti menyumbang kepada kegagalan untuk meraih pingat emas antaranya tidak boleh menyertai latihan dan kejohanan kompetitif, kejohanan antarabangsa yang terhad telah menyukarkan analisa tepat prestasi pesaing-pesaing dari negara luar dan daya ketahanan mental atlet ketika pandemik Covid-19 turut mempengaruhi prestasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, kegagalan tersebut bukan sesuatu yang diinginkan namun ia adalah tanggungjawab daripada semua pemegang taruh yang terlibat seperti Kementerian, Persatuan Sukan Kebangsaan, jurulatih termasuk atlet itu sendiri.

“Walau bagaimanapun, Kementerian mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada atlet negara yang telah berjuang sebaik mungkin, menggalas amanah atas nama Malaysia di edisi Tokyo 2020 kali ini. Kesediaan berlatih dalam ancaman Covid-19 adalah satu pengorbanan yang besar demi mengharumkan nama negara Malaysia yang tercinta.

“Bagi menilai semula kekurangan serta kelebihan Program Road to Tokyo 2020, Kementerian telah melaksanakan Post-Mortem Olimpik/Paralimpik Tokyo 2020 yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), KBS pada 22 November lalu dengan kehadiran beberapa pihak seperti Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara,” ujarnya.

Jelasnya, beberapa atlet perlu diberi pujian atas peningkatan pencapaian seperti Datuk Azizulhasni Awang, gandingan beregu badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta atlet para yang berjaya mencipta sejarah baharu di pentas Sukan Paralimpik dengan meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN