fbpx

Dayang main game sebagai motivasi diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN minat bermain game komputer selepas tamat SPM, Dayang masih dapat membahagikan masa berharga antara pelajaran dan perkara lain dalam hidupnya.

RUTIN harian gadis berusia 24 tahun itu banyak dihabiskan di kampus sebagai seorang mahasiswa sambil bekerja sebagai pembantu penyelidik di Universiti Malaya.

Walau sesibuk mana pun rutin di dalam kampus, namun Dayang Zainatul Nur Souraya Abang Zulkarnain tetap meluangkan masa bersenam bagi mengekalkan kecergasan tubuhnya.

Setiap pagi, gadis yang mesra disapa Dayang itu memulakan hari dengan melakukan yoga selama sejam secara berseorang atau bersama ibunya di rumah.

Bagi Dayang, senaman tersebut dapat memastikan badan dan mindanya betul-betul bersedia sebelum menempuh hari yang penuh mencabar.

“Saya mula aktif melakukan senaman yoga ini pada tahun lalu, sewaktu pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Ketika itu, saya duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa.

“Justeru, ibu mengajak saya melakukan yoga bersamanya di rumah. Bermula daripada situlah, minat saya terhadap yoga bercambah sehingga hari ini,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Selain yoga, anak bongsu daripada dua beradik itu turut terlibat secara aktif dalam sukan tinju sejak empat tahun lalu.

Jelas Dayang, penglibatannya dalam arena tersebut bermula daripada ajakan seorang rakan untuk belajar tinju bersama seorang jurulatih di gimnasium pada hujung minggu.

DAYANG sering melakukan senaman untuk mengekalkan kesihatan dan kecergasan badannya.

Katanya, tujuannya berlatih tinju hanya sekadar suka-suka bagi mengisi masa lapang dan pernah memasang niat untuk menyertai sebarang pertandingan.

“Sehingga sekarang saya masih aktif bertinju terutamanya pada hujung minggu. Saya rasa hampir semua teknik dalam sukan itu sudah berjaya dikuasai.

“Tetapi penguasaan saya belum sampai tahap master. Pada masa sama, saya juga ada belajar Muay Thai sebagai satu bentuk seni mempertahankan diri,” ujarnya lagi.

Tidak cukup dengan itu, Dayang memiliki hobi bermain permainan video secara online menerusi komputernya di rumah.

Gadis memiliki berat 47 kilogram itu memberitahu, dia gemar bermain permainan video Volorant bersama rakan pada waktu lapang.

Untuk makluman, Volorant merupakan satu permainan yang berkisar mengenai taktikal dalam pertempuran menggunakan senjata.

Katanya, dia aktif bermain permainan video sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengisi masa lapang di rumah sebelum bertukar menjadi hobi.

“Saya mula bermain permainan video ini sejak lepas sekolah menengah lagi. Ketika itu, saya main game secara offline sebelum beralih kepada online.

“Sebenarnya, bermain secara online lebih menyeronokkan kerana boleh tengok video ulangan permainan, sekali gus dapat mengetahui kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Dayang menambah, dia pernah bermain permainan video lebih lapan jam bermula pada ada pukul 10 malam sehingga menjelang subuh.

Menurut penuntut Ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan itu, bermain permainan video terlalu lama bukanlah satu kesalahan, selagi seseorang mahasiswa itu tahu membahagikan masa.

“Ramai orang beranggapan, permainan video boleh menjadi punca kegagalan seseorang itu, terutamanya mahasiswa dalam pelajaran akibat terlalu leka bermain.

“Sebaliknya, saya menjadikan permainan video sebagai satu bentuk motivasi. Sebelum main, saya akan selesaikan semua tugasan terlebih dahulu.

“Kalau main game sampai pagi pun saya tidak ada masalah untuk bangun awal ke kelas. Tetapi tumpuan saya dalam kuliah berkurangan kerana mengantuk,” terangnya lagi.

Mengakhiri bicara, Dayang memaklumkan, dia memasang impian menjadi seorang pensyarah bagi mendidik anak bangsa satu hari nanti.

Justeru itu, selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana, Dayang berhasrat menyambung ke peringkat Doktor Falsafah bagi mengejar impiannya itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI