KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pengurus ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM27,500 pada enam tahun lalu.
Tertuduh, Sauddin Che Lamin, 57, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan keseluruhan RM27,500 sebagai upah memilih dua syarikat bagi kerja-kerja pembekalan barangan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Sauddin di Ladang Tabung Tentera Terengganu, Kemaman, antara Julai hingga Disember 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.
Hakim Dazuki membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jamin RM14,000 dan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada setiap 1 hari bulan.
Beliau juga menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE