fbpx

Bekas pegawai KPDNHEP menyamar dan menipu dijel sehari, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aidil Akram didenda RM4,000 dan dijel sehari menyamar pegawai KPDNHEP dengan menipu pemilik syarikat pembekalan gas sebanyak RM3,000

SHAH ALAM – Seorang peniaga online merayu dalam keadaan menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen hari ini agar tidak dipenjara selepas mengaku bersalah menyamar pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menipu RM3,000 daripada pemilik syarikat pembekalan gas, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Aidil Akram Harun, 38, bagaimanapun didenda RM4,000 dan dipenjara sehari selepas pertuduhan pilihan dibacakan dihadapan Hakim Rozilah Salleh.

Aidil Akram yang sebelum ini telah dibuang kerja dari KPDNHEP atas tindakan tatartertib turut diperintahkan mahkamah menjalani tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan, hukuman penjara perlu dikenakan memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius.

“Selepas ini, berazam untuk tidak buat apa-apa lagi kesalahan. Saya harap kamu bertaubat, jadikan iktibar dan bina kehidupan yang baru,” jelas beliau.

Mengikut pertuduhan, Aidil Akram bersama seorang lagi masih bebas telah menyamar sebagai pegawai KPDNHEP bagi menipu seorang pemilik syarikat membekal gas ke rumah, kedai dan kilang menyerahkan wang tunai RM3,000 di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 6 April 2013.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas telah ke rumah pemilik syarikat terbabit dan memperkenalkan diri sebagai pegawai KPDNHEP sedangkan pada ketika itu, dia sudah tidak berkhidmat dengan kementerian terbabit kerana telah dibuang kerja atas kesalahan tatatertib.

Mereka turut menyatakan pemilik syarikat itu telah melakukan kesalahan menyimpan lori dan tong gas di kawasan perumahan dan perlu membayar kompaun jika tidak mahu ia disita.

Aidil Akram yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman denda yang rendah memandangkan hanya membawa wang sebanyak RM5,000 hari ini.

Dia yang kini menetap di Machang, Kelantan kini menjaga bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima selain menyara isteri dan tiga anaknya.

“Saya merayu Puan, jangan bagi hukuman penjara. Tolonglah Puan. Saya menyesal sangat,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI