fbpx

Ah long jadi dalang sindiket dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ( dua kanan depan) menunjukkan dadah yang dirampas polis.

SHAH ALAM – Kelicikan seorang ah long yang menjadi dalang sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu berakhir apabila ditangkap bersama sembilan lagi anak buahnya dalam enam serbuan berasingan di sekitar Selangor.

Kesemua suspek lelaki berusia 22 hingga 42 tahun itu ditangkap menerusi serbuan serentak lebih empat jam bermula pukul 12.10 tengah hari pada 22 Februari lalu di Gombak dan Bukit Puchong dekat sini.

Turut dirampas adalah 176 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah termasuk heroin base, heroin, pil ekstasi dan serbuk dadah MDMA bernilai RM8.09juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Hussain berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati sindiket menjadikan sebuah rumah kedai di Bukit Puchong sebagai mini makmal dalam pemprosesan dadah untuk pasaran tempatan.

Katanya, hasil siasatan turut mendapati sebanyak empat kali pemprosesan dadah dilakukan setiap seminggu oleh sindiket tersebut.

“Semasa serbuan, semua suspek didapati sedang melakukan kerja memproses dadah dan tidak boleh melarikan diri akibat dikepung selain pintu belakang rumah yang dijadikan mini makmal tersebut berkunci.

“Kita juga berjaya menangkap dalang utama sindiket itu yang dipercayai merupakan seorang ah long,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kata beliau, siasatan lanjut terhadap dalang utama mendapati akan merampas kenderaan daripada peminjam yang gagal melunaskan hutang mereka.

Tegas Razarudin, ini susulan rampasan 19 kenderaan termasuk kereta tunda yang digunakan bagi tujuan tersebut.

Antara kenderaan dirampas adalah seperti BMW330i, BMW528i, Volkswagen Golf GTI 2.0 dan Mercedes Benz E200 sedan.

Selain itu, rampasan turut melibatkan pelbagai barangan kemas, akaun bank dan wang tunai dianggarkan keseluruhan RM2.039juta.

“Dalang utama ini adalah ‘penaja’ bagi pembinaan mini makmal dengan bekalan dadah diperoleh dari kawasan segitiga emas.

“Kita tidak menolak sindiket menggunakan perkhidmatan kurier sebagai medium pengedaran susulan penemuan bungkusan kurier,” ujarnya.

Jelas beliau, ujian air kencing mendapati seorang daripadanya suspek itu positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

“Semakan rekod jenayah pula mendapati lapan suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Selain itu, kita menganggarkan sekiranya dadah-dadah itu terlepas dalam pasaran boleh dibekalkan kepada 1.8 juta individu,” katanya.

Mengulas lanjut, kesemua suspek kini direman selama lima hingga 11 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI