fbpx

4 anggota penguat kuasa terlibat kes samun diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan (tengah) menunjukkan sebahagian daripada minuman keras yang berjaya dirampas semula selepas disamun oleh tiga lelaki dalam kejadian di Dengkil, Selangor, Khamis lalu.

GOMBAK – Seramai tujuh individu termasuk empat anggota penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam satu kejadian samun minuman keras di Dengkil, Selangor pada Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek yang berusia 25 hingga 49 tahun itu dipercayai membantu sindiket samun dengan membocorkan maklumat berhubung lokasi penyimpanan minuman keras yang telah dirampas oleh sebuah agensi penguatkuasaan sebelum ini.

“Kejadian berlaku apabila tiga lelaki yang menaiki sebuah lori telah masuk ke tempat simpanan barang kes milik sebuah agensi penguat kuasa tersebut pada pukul 2.30 pagi Khamis lalu.

“Suspek kemudiannya mengikat pengawal keselamatan dan memunggah minuman keras yang berada dalam sebuah lori di tempat simpanan itu ke dalam lori yang dibawa mereka sebelum membawa keluar barang kes berkenaan pada pukul 5 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Menurut Mazlan, susulan laporan polis yang diterima, pihak polis telah menahan empat orang anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan dan pemeriksaan yang dilakukan ke atas mereka telah menemui sejumlah wang tunai dan dadah pelbagai jenis.

“Pemeriksaan ke atas kereta milik anggota penguat kuasa tersebut telah menemui dadah jenis pil captagon seberat dua kilogram, 47 biji pil erimin 5 dan kokain 4.9 gram dengan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM559,899.

“Turut dirampas adalah telefon bimbit, penimbang elektronik dan wang tunai berjumlah RM111,100,” ujar beliau.

Tambah Mazlan, hasil soal siasat yang dilakukan, anggota penguat kuasa berkenaan telah mendedahkan bahawa kejadian melibatkan tiga individu yang dua daripadanya telah berjaya ditahan namun seorang lagi masih dalam buruan.

“Penahan pemandu dan kelindan lori itu turut membawa kepada penemuan lori yang digunakan mereka di tepi jalan di sekitar Shah Alam, Selangor yang didalamnya terdapat 234 kotak minuman keras yang disamun.

“Pihak polis turut menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai menjadi orang tengah di antara anggota penguat kuasa dan sindiket samun tersebut,” ujar beliau.

Jelas beliau, kesemua suspek kini direman hingga esok mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut dan pihak polis masih giat memburu seorang lagi suspek yang disyaki menjadi dalang kes berkenaan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI