KAJANG – Tiga senior yang juga pelajar sebuah sekolah madrasah tahfiz yang sebelum ini ditahan kerana membuli dua pelajar junior mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua kanak-kanak itu.
Ketiga-tiga tertuduh yang merupakan tertuduh juvana berusia 16 dan 17 tahun membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka hadapan Majistret Syahrul Sazly Md. Sain.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 29 Disember ini untuk pendengaran laporan akhlak, sebelum hukuman dijatuhkan.
Dalam mahkamah sama, seorang lagi tertuduh iaitu Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, yang merupakan rakan kepada tiga tertuduh juvana itu pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama. Mahkamah turut menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka secara bersama didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua kanak-kanak masing-masing berusia 10 dan 12 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik asrama sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat di sini pukul 7.30 petang pada 31 Oktober lalu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh juvana itu sementara manakala RM5,000 bagi tertuduh Muhammad Muaz.
Namun kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan.
Mahkamah kemudian membenarkan tiga tertuduh juvana itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang manakala tertuduh Muhammad Muaz diikat jamin RM1,500.
Kosmo! Online pada 23 November lalu melaporkan, polis menahan lima pelajar senior sebuah madrasah kerana membuli dua pelajar sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah madrasah di Hulu Langat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada bapa saudara kedua-dua mangsa pada pukul 6.19 pagi.
Menurut polis, kelima-lima suspek berusia lingkungan 14 hingga 24 tahun merupakan pelajar senior di madrasah tahfiz berkenaan
dan suspek bertindak memukul dan membuli kedua-dua mangsa berusia 10 dan 12 tahun yang juga pelajar tahun kedua di sekolah terbabit.
Menurut Mohd. Zaid, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang lima pelajar senior itu.
Jelasnya, aktiviti buli itu dipercayai telah berlanjutan selama beberapa bulan dimana kedua-dua mangsa telah di’raging’dan diugut jika cuba memberitahu pihak madrasah. – K! ONLINE