KUALA TERENGGANU – Seramai 100 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terenganu dilaporkan positif Covid-19 sejak bulan Mac tahun lalu.
Pengarah JBPM Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, 88 anggota bomba yang dijangkiti itu telah sembuh manakala 12 lagi masih dalam proses pemulihan.
“Kesemua 12 kes aktif itu merupakan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 dan mereka sedang menjalani kuarantin di kediaman masing.
“Tiada kematian direkodkan setakat ini. Secara keseluruhan seramai 405 orang anggota termasuk kontak rapat menjalani kuarantin sejak pandemik Covid-19 melanda,” katanya selepas menerima suntikan dos penggalak di sini hari ini.
Beliau menjadi antara 140 anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu yang menerima suntikan dos penggalak Covid-19 tersebut.
Md. Hilman berkata, suntikan dos penggalak terhadap 700 anggota JBPM Terengganu itu merupakan antara persediaan menghadapi fasa dua Monsun Timur Laut yang sedang melanda Pantai Timur kini.
“Setakat ini, hampir 100 peratus anggota dan pegawai telah lengkap vaksinasi dan tiada yang menolak (vaksin) kecuali seorang yang mengalami masalah kesihatan,” tambahnya. – K! ONLINE