fbpx

10 ditahan ketika asyik karaoke dalam bangsal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PASIR MAS – Polis menahan 10 individu termasuk tiga orang wanita semasa mereka sedang asyik berkaraoke di dalam sebuah bangsal di Kampung Pasir Parit, Tok Uban di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 11.30 malam itu, seorang lelaki warga emas yang berusia 66 tahun turut ditahan bersama sembilan yang lain semasa mereka berada di bangsal tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan mendapati, seorang lelaki berusia 63 tahun dipercayai menjadi penganjur kepada kegiatan karaoke di bangsal berkenaan.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap tiga wanita yang berada di lokasi itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah.

“Kesemua suspek yang terlibat dalam tangkapan itu berusia 35 hingga 66 tahun dan seorang lelaki mengaku menganjurkan aktiviti karaoke di bangsal tersebut.

“Siasatan mendapati, aktiviti karaoke di bangsal itu telah dijalankan sejak lebih dua bulan lalu. Penganjuran itu dipercayai hanya untuk kenalan sahaja dan ia dibuka tiga kali seminggu bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasaruddin, pengunjung ke bangsal itu hanya membayar makan serta minum mereka sahaja dan aktiviti karaoke tidak dikenakan sebarang caj.

Menurutnya, dalam serbuan itu, peralatan karaoke yang digunakan dalam aktiviti tersebut telah dirampas dan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini untuk siasatan lanjut

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI