fbpx

Tiada kenaikan harga melampau, hanya libatkan sayur-sayuran import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGUATKUASA KPDNKK melakukan pemantauan harga sayur-sayuran di sebuah pasar raya di Kuantan semalam.

KUANTAN – Tiada kenaikan harga sayur-sayuran yang melampau dan terlalu tinggi direkodkan di negeri ini seperti yang didakwa sesetengah pihak pada masa ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati meskipun berlaku kenaikan namun harga sayur masih berada pada julat harga munasabah yang mana kenaikan melibatkan sayur-sayuran yang diimport.

“Bagi sayur-sayuran tempatan walaupun bekalan agak terjejas kerana perubahan cuaca ketika ini ianya tidaklah menyumbang kepada kenaikan harga sayur yang melampau di pasaran seperti yang digembar-gemburkan.

“KPDNHEP Pahang mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menangguk di air keruh rentetan daripada situasi bekalan sayur ketika ini dan sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kelestarian perdagangan di negeri ini,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mark, KPDNHEP Pahang telah menjalankan siasatan yang mendalam terhadap rantaian pengedaran bekalan sayur di negeri ini dengan melancarkan Ops Pasar 2021 (sayur-sayuran 2) bermula 27 November lalu.

Selain itu beliau berkata pihaknya turut mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi bertanggungjawab ke atas bekalan dan harga sayur-sayuran seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Pahang.

Jelasnya hasil kajian dijalankan mendapati antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan harga adalah masalah kekurangan pekerja di ladang sayur tempatan setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, pembukaan semula semua sektor sosial telah melonjakkan permintaan sayur berbanding penawaran bekalan ditambah pula hasil tuaian di ladang sayur tempatan telah memasuki peringkat akhir tanaman.

“Kebergantungan terhadap bekalan sayur import di Pahang juga terlalu tinggi hingga mencecah 70 peratus berbanding hasil ladang tempatan yang dapat menampung 30 peratus permintaan pengguna di negeri ini serta negara pengeksport sayur pula sedang dilanda fenomena cuaca sejuk melampau mengakibatkan kekurangan bekalan sayur import negara,”ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI