ROM – Saingan Piala Dunia di Qatar tahun depan bakal kehilangan serinya tanpa kelibat salah satu daripada dua juara Eropah antara Itali dan Portugal.
Kedua-dua pasukan itu diundi dalam kelompok yang sama dalam aksi playoff benua Eropah dan berkemungkinan besar bakal membuat perhitungan sesama sendiri untuk merebut salah satu daripada tiga tiket ke Piala Dunia 2022.
Dalam undian itu, Itali akan menjadi tuan rumah menanti kunjungan Macedonia Utara sementara Portugal pula bersiap sedia menghadapi Turki di laman sendiri untuk pusingan pertama playoff, Mac tahun depan.
Itali dan Portugal dijangka mampu melepasi halangan masing-masing sebelum kedua-dua pasukan berentap menentukan tempat ke Piala Dunia 2021.
“Macedonia Utara juga sebuah pasukan yang bagus dan jika kami menang, kami perlu beraksi di tempat lawan pula sama ada bertemu Turki atau Portugal di final (playoff).
“Saya akui ini adalah satu undian yang sangat sukar buat kami,” kata ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini.
Sementara itu, pengendali Portugal, Fernando Santos enggan memikirkan mengenai prospek pertemuan menentang Itali, sebaliknya mahu memberikan fokus melepasi halangan Turki terlebih dahulu.
“Ini lebih penting kerana ia akan membawa kami ke final (playoff).
“Walaupun Turki tidak konsisten, tetapi mereka adalah sebuah pasukan yang sukar. Namun saya yakin kami akan tetap mara ke Piala Dunia,” jelasnya.
– AGENSI