SUNGAI SIPUT – Pelantikan Mufti Perak yang baharu adalah di bawah prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, semua pihak tidak mempunyai hak untuk membantah pelantikan berkenaan.
“Pelantikan mufti adalah prerogatif Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak dan sudah tentu, Baginda akan mengambil kira semua pandangan dan nasihat.
“Jadi saya ingat saya tidak boleh komen apa-apa kerana bukan hak kita untuk buat bantahan sebab itu prerogatif Sultan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di Kompleks Latihan Perhutanan Sungai Siput (U) di sini hari ini.
Saarani diminta mengulas isu berhubung bantahan Ulama Pondok Perak yang membantah pelantikan bakal Mufti negeri ini daripada aliran atau fahaman syiah, wahabi dan sebagainya.
Menurut Saarani, pihaknya yakin dengan kebijaksanaan Sultan Nazrin yang akan mengambil kira pandangan dan nasihat.
“Baginda akan melantik orang yang betul di tempat yang betul. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial berkenaan Ulama Pondok Perak yang menolak dan membantah sekeras-kerasnya mana-mana individu dari aliran atau fahaman syiah, wahabi dan sebagainya.
Sehingga kini status bantahan berkenaan telah dikongsi lebih 3,000 pengguna Facebook serta mendapat tanda suka 10,000.
Jawatan Mufti Perak masih belum diisi selepas Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria meninggal dunia akibat Covid-19 pada 30 Mei lalu. – K! ONLINE