fbpx

Obses kumpul 3,388 lip balm

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SCARLETT begitu berbangga dengan 3,388 salap bibir yang dikumpulnya sejak beberapa tahun lalu dan kini disahkan sebagai koleksi terbesar salap bibir di dunia oleh Guinness World Records.

Gincu bibir dan lip balm (salap bibir) memang dianggap sebagai barangan kecantikan atau penjagaan diri bersifat keperempuanan. Jadi, tidak hairanlah jika seorang perempuan atau gadis itu amat menyukainya.

Pun begitu, seorang kanak-kanak perempuan di Hong Kong, Ashley Cheng bukan sahaja menggemarinya tetapi terlalu obses dengan salap bibir sehingga mengumpul ribuan salap bibir.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu memiliki koleksi salap bibir yang cukup menakjubkan.

Dia yang merupakan peminat barangan kosmetik ringkas itu berjaya mengumpulkan 3,388 salap bibir. Koleksinya juga telah disahkan sebagai koleksi salap bibir terbesar di dunia oleh Guinness World Records (GWR) pada 24 April lalu.

Koleksi salap bibirnya terdiri daripada pelbagai jenis, warna, tekstur, bentuk dan fungsi. Salap bibir tersebut ada yang berbentuk seperti silinder, tiub-tiub kecil seperti ubat gigi, bebola, replika barangan sehinggalah menyerupai gula-gula.

Dia yang turut berkongsi minat tersebut bersama kakaknya, Kaylyn, 8, memiliki pelbagai salap bibir dari seluruh dunia dari jenama Burt’s Bees, Eos, Humble, Nivea dan banyak lagi. Tidak kurang juga salap bibir keluaran syarikat pengeluar gula-gula atau manisan seperti Skittles, M&M’s and Chupa Chups.

Koleksi itu ada yang dibeli dari Hong Kong dan ada yang didapati dari negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Sweden, Poland, Greece dan banyak lagi.

Seperti mana kebanyakan orang yang menggunakan salap bibir untuk mengatasi masalah bibir kering, itu jugalah permulaan kegilaan Scarlett terhadap salap bibir.

“Segalanya bermula dengan masalah bibir kering semasa saya kecil. Ibu bapa dan nenek saya mengoles salap bibir pada bibir saya setiap hari untuk memastikannya sentiasa lembap.

“Namun, saya mula berasa obses untuk mengumpul salap bibir apabila nenek menghadiahkan satu salap bibir kepada saya beberapa tahun lalu. Saya masih menyimpan salap bibir pertama koleksi saya itu,” kata Scarlett.

PELBAGAI jenis bentuk salap bibir atau lip balm dimiliki kanak-kanak berusia enam tahun ini.

Daripada sebatang salap bibir pemberian nenek, koleksi Scarlett berkembang menjadi ribuan.

“Pada awalnya semasa saya amat kecil, salap-salap bibir cuma berperisa ‘kosong’ atau semula jadi tanpa sebarang perisa tetapi semakin saya membesar, semakin banyak perisa muncul dan saya berminat untuk mencuba serta memilikinya,” katanya yang paling meminati produk salap bibir dari Jepun.

Scarlett berkata, produk-produk itu dibeli menggunakan wang simpanan dirinya dan kakak selain turut dihadiahkan kawan-kawan.

“Semua orang yang kenal saya tahu betapa saya menggilai salap bibir, jadi mereka belikan salap-salap bibir dari serata dunia apabila mereka melancong ke luar negara,” katanya yang turut mendapat sokongan keluarga dalam mengumpul salap-salap bibir itu.

Selain minat mengumpulnya, Scarlett dan Kaylin juga gemar menghasilkan salap bibir buatan sendiri dan menghadiahkannya kepada saudara-mara dan kawan-kawan.

Scarlett menerusi bantuan ibu bapanya telah memohon untuk penciptaan rekod GWR itu.

Menurut satu sumber keluarganya, mereka menyokong minat kanak-kanak tersebut kerana mahu mendidik dari kecil bahawa mempunyai sasaran dan matlamat itu menjadikan hidup ini lebih bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI