PETALING JAYA – Yayasan Perintis Malaysia (MyPerintis) terus komited menjalankan tanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak 1,000 topi keledar kanak-kanak akan diedarkan kepada pelajar sekolah rendah yang terpilih di sekitar parlimen Kepala Batas.
Menurut beliau, program Adiwira Topi Keledar ini bertujuan untuk menyemai perubahan tabiat positif dalam mementingkan aspek keselamatan jalan raya seawal usia kanak-kanak lagi.
“Melalui kaji selidik yang telah dibuat, hanya 15 peratus daripada pembonceng motosikal menggunakan topi keledar untuk pergi dan pulang dari sekolah.
“Kebiasaanya golongan pelajar tidak menggunakan topi keledar atau hanya menggunakan topi keledar mainan serta topi keledar dewasa yang tidak bersesuaian dengan saiz kepala kanak-kanak,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian Program Adiwira Topi Keledar anjuran MyPerintis dan Kurnia Insurans dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas di Dewan Wisma UMNO Kepala Batas, Pulau Pinang.
Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Roslan Saidin; Pengerusi Yayasan Perintis Malaysia, Datuk Lawrence Low;, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara, Rosli Ibrahim;, Naib Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Nordin Wahab dan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Darus.
Reezal Merican turut mengucapkan tahniah kepada pihak MyPerintis atas inisiatif yang amat bermakna demi keselamatan anak-anak sekolah terutama di jalan raya.
“Diharapkan sumbangan ini juga dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kebaikan bersama sebagai langkah awal bagi menyemai kesedaran akan kepentingan keselamatan jalan raya di kalangan kanak-kanak,” tambah beliau.