SETIU – Hasrat seorang wanita untuk menziarah jenazah arwah ibunya yang meninggal dunia kelmarin tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di KM 74, Jalan Air Sejuk di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, suami mangsa, Muhamad Nazirul Rameli, 23, pula mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.
Beliau berkata, sewaktu kejadian, pasangan suami isteri yang menetap di Johor itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung Nadia Fizatul Hanim di Kampung Pulai Chondong, Machang, Kelantan.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka dipercayai tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
“Isteri pemandu (Nadia Fizatul Hanim) tercampak keluar dari kereta sebelum disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Afandi berkata, mayat Nadia Fizatul Hanim telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE