KLANG – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas nekad terjun ke dalam Sungai Klang berdekatan bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, mangsa berusia 20-an turut meninggalkan kereta Perodua Alza dipandunya di sekitar lokasi berkenaan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.47 pagi.
Katanya, seramai anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja dikerah dalam operasi berkenaan.
“Berdasarkan saksi kejadian, seorang lelaki yang tidak dikenal pasti bangsanya meninggalkan kereta dan terjun ke sungai tersebut.
“Gerakan mencari mangsa ketika ini masih giat dijalankan di sekitar kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. -K! ONLINE