fbpx

Kerajaan kaji laksana VTL laut dengan Singapura, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ka Siong meninjau kemudahan Desaru Coast Ferry Terminal di Kota Tinggi yang bakal beroperasi pada bulan depan.

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) laut selepas VTL udara dan darat mula dilaksana bermula esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pelaksanaan VTL laut itu akan melibatkan negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia.

“Program VTL melalui darat dan udara di antara Malaysia dan Singapura akan bermula esok (29 November), maka peluasan program VTL seterusnya pastilah melalui laut.

“Kemudahan Desaru Coast Ferry Terminal (DCFT) sememangnya dirancang untuk membawa pelancong dari Singapura dan Indonesia melalui perkhidmatan feri.

“Bangunan terminal feri ini telah siap dibina dan kaunter imigresen dijangka beroperasi pada bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya selepas melakukan lawatan kerja ke DCFT, Kota Tinggi, hari ini.

Tambah beliau, perbincangan sedang dijalankan dengan pengusaha feri untuk memohon kebenaran pelaksanaan inisiatif itu daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan Maritime and Port (MPA) Singapura.

“Pengurus Besar Desaru Ferry Sdn. Bhd., Kapten Sathasivam memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan para pengusaha feri untuk memohon dari JLM dan MPA Singapura.

“Proses kelulusan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan,” ujarnya.

Tambah beliau, Kementerian Pengangkutan sedia membantu pengusaha feri untuk mendapatkan kelulusan dari JLM dan mempermudahkan urusan syarikat dengan pihak MPA jika perlu.

Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bakal merasmikan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui inisiatif VTL darat.

Pelaksanaan VTL darat itu akan bermula serentak dengan VTL udara yang menghubungkan lapangan terbang Changi di Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI