IPOH – Pemilik baru Perak FC, Impact Media Communications Sdn. Bhd. (IMC) sedang berusaha meminta penangguhan pembayaran tunggakan gaji pemain yang diarahkan kepadanya.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah, Perkongsian dan Jualan Penajaannya, Muhammad Yunus Zakariah.
Pembayaran tunggakan gaji selama tiga bulan itu sepatutnya dilunaskan hari ini sepertimana arahan oleh Persatuan Pemain Profesional Bola Sepak Malaysia (PFAM).
“Kami baru berbincang dengan peguam-peguam PFAM untuk meminta penangguhan sementara.
“Memang isu tunggakan gaji ini menjadi keutamaan kami.
“Kami berharap dapat mencapai persetujuan dengan PFAM dan menyediakan pemain satu pelan bayaran dalam tempoh terdekat,” ujarnya.
Pada dasarnya kata Muhammad Yunus, PFAM bersetuju tetapi selagi tiada hitam putih pihak IMC tidak boleh memutuskan apa- apa.
Beliau yang dijangka dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC juga memberitahu, urusan pembelian saham kelab itu sebenarnya belum dimuktamadkan tetapi IMC sudah boleh menjalankan urusan .
“Keutamaan kini diberikan untuk menyelesaikan isu gaji dan selepas itu barulah urusan pembentukan pasukan akan dibuat.
“Kami belum putus siapa yang akan dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan. Ia akan dibuat selepas selesai urusan pemain,” katanya. -K! ONLINE