PETALING JAYA – Seorang wanita menunjukkan sifat kasih sayang terhadap kucing untuk memastikan hidup mereka tidak terabai di jalanan.
Menerusi hantaran di Facebook Inn Intan Noraini, dia telah terjumpa sebuah keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang ingin pulang ke Sabah bersama 10 ekor kucing kesayangan mereka yang diletakkan dalam carrier (pembawa) untuk memastikan perjalanan dengan menaiki kapal terbang dalam keadaan selamat.
Menurutnya, beliau terharu dengan sifat belas ihsan keluarga berkenaan terhadap tanggungjawab melindungi haiwan terbiar seperti kucing.
”MashaAllah, terjumpa keluarga ini di lapangan terbang KLIA. Katanya nak balik Sabah, diangkutnya 10 ekor kucing kesayangan.
”Terharu sangat kerana beliau tidak meninggalkan beban kepada orang lain. Moga Allah permudahkan dan rahmati kamu,” katanya.
Tambahnya, kebanyakan orang ramai yang membuat keputusan untuk berpindah atau berhijrah dari rumah akan meninggalkan kucing sendirian.
Susulan daripada perkongsian itu, orang ramai menghargai keprihatinan wanita berkenaan dan mendoakan segala urusan keluarga mereka melindungi haiwan dipermudahkan.
”Terima kasih kerana berbuat baik dengan binatang kesayangan Rasulullah. Semoga Allah memberkati memudahkan urusan anda dunia akhirat,” kata Noriah Daud.
”SubhanAllah, mereka antara masyarakat yang memahami maksud amanah. Semoga dipermudahkan segalanya dan dilimpahkan rezeki yang luas buat mereka sekeluarga,” ujar Deida Shahabuddin.
Selain itu, pengguna yang bernama Noorain Zakry turut berkongsi harga seekor kucing untuk dibawa ke Sabah boleh mencecah RM900 bagi seekor kucing.
”Bajet minimum yang diperlukan untuk seekor kucing RM900 mengikut agen,” jelasnya. -K!ONLINE