PETALING JAYA – Gara-gara kebencian mendalam terhadap watak Esra Nila dalam drama i-Tanggang: Mother of All Lies, pelakon remaja Emma Sofea pernah berdepan ‘permintaan’ berbaur ancaman daripada seorang individu.
Dedah pelakon berusia 15 tahun itu, dia pernah diminta untuk membunuh diri daripada seorang individu tidak dikenali ketika dia melakukan siaran langsung (live) untuk sebuah permainan video.
“Masa itu, saya bermain permainan dalam talian. Saya buat live dan orang luar boleh sertai sekali. Tiba-tiba ada orang komen, ‘Emma, go kill yourself’.
“Itu kecaman yang paling teruk pernah saya terima disebabkan drama i-Tanggang. Ada juga mereka yang berharap saya dihantar ke rumah anak yatim dan ditinggalkan di tepi jalan kerana terlalu derhaka dengan ibu bapa dalam drama tersebut,” ujarnya kepada Kosmo! Ahad.
Tambah Emma, adalah salah jika seseorang meminta orang lain membunuh diri tidak kira atas apa sebab sekalipun dan masyarakat tidak sepatutnya membiasakan perbuatan terkutuk sebegitu.
“Sangat salah suruh orang bunuh diri. Tak kira apa sebabnya, memang tak boleh terima.
“Sebagai manusia, kita tidak boleh buat begitu. Saya sendiri tidak dapat bayangkan diri sendiri buat begitu kepada orang lain. Sangat menjijikkan. Jangan normalisasikan perbuatan sebegini,” katanya.
Menerusi drama i-Tanggang Emma memegang watak Esra Nila, seorang anak yang dimanjakan sehingga berubah menjadi biadab terhadap ibu bapanya.