PETALING JAYA – Masih bertahan walaupun selepas hampir tiga dekad penubuhan, kumpulan Slam mendedahkan antara rahsia kekal relevan dalam industri adalah sentiasa jujur dengan setiap penghasilan karya muzik.
Slam yang setia dianggotai ahli asal iaitu Zamani selaku vokalis, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) tidak pernah ‘pusing’ tentang sambutan daripada peminat kerana perkara paling mustahak adalah usaha yang dicernakan dalam muzik mereka.
“Berdasarkan pengalaman, muzik yang kita rakam dahulu, usaha yang disuntik 100 peratus.
“Maksudnya, kerja yang kami buat betul-betul teliti. Nak guna perkataan ‘di’ dalam lirik lagu pun kita fikir sedalamnya.
“Sebab itu lagu-lagu orang lama bertahan sampai sekarang. Kita buat kerja bukan sembarangan. Zamani dulu di studio rakaman nak masukkan vokal sampai 5 jam,” kata Shah mewakili Slam kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Slam ditemui media pada sidang akhbar Konsert Slam Mentari Muncul Lagi di ibu negara minggu lalu.
Ujar Shah lagi, berbeza dengan budaya atau cara kerja pemuzik sekarang, Slam merupakan antara artis yang tidak mudah patah semangat hanya kerana kurang mendapat sambutan daripada peminat.
“Kita buat (muzik) sebab passion (minat). Tak fikir orang suka atau tidak sebab pokoknya, memang nak main muzik sebab mahu berkarya.
“Barangkali, disebabkan kejujuran dalam berkarya sampai sekarang, Slam masih diingati dan diterima peminat.
“Zaman sekarang, orang sibuk buat muzik sebab nak letak di YouTube dapat ‘views’ berjuta-juta. Itu mungkin sebabnya susah nak bertahan,” kata Shah.
Ketika ditemu bual, Slam sempat mengenang kegagalan yang pernah ditempuhi mereka saat album debut menjengah pasaran hampir 30 tahun lalu.
“Buat band kena istiqamah. Saya masih ingat album pertama Slam dulu tak laku. Zaman itu, jualan 40,000 unit dah dikira gagal.
“Saingan waktu itu memang sengit antara band tempatan. Kalau jual 80,000 hingga 100,000 unit, itu baru dikira berjaya.
“Tapi tak berjaya tak mematahkan semangat juang kami. Album kedua kami bikin ‘meletup’ sampai jualan mencecah 250,000 unit (di Malaysia). Di Indonesia pun memang mendapat sambutan luar biasa waktu itu,” kongsi Shah.
Diminta pendapat tentang antara kumpulan tempatan masa kini yang dilihat mempunyai potensi, Shah berkata, malangnya, buat masa sekarang memang sudah sedikit tandus.
“Lepas zaman kami, ada Spider dan selepas itu, ada Akim & The Majistret namun selepas itu, senyap dan tak berapa nampak.
“Mungkin silapnya mereka (band tempatan) buat muzik sebab terlalu obses dengan YouTube. Itu yang buat (muzik) acuh tak acuh sebab usaha tak sebesar orang lama,” ujar Shah.
Slam akan kembali menggamit memori peminat setia mereka dengan penganjuran Konsert Slam Mentari Muncul lagi yang dijadual berlangsung 12 Februari 2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Anjuran Shiraz Projects dan mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) serta MyCreatives Ventures, tiket konsert boleh didapati menerusi laman web, www.myticket.asia. – K! ONLINE