JOHOR BAHRU – Masyarakat diminta melaporkan sebarang salah laku membabitkan pegawai dan anggota polis termasuklah dengan mengambil bukti perbuatan tersebut secara bergambar mahupun rakaman video.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut lunas undang-undang termasuklah tindakan mahkamah dan tatatertib.
Katanya, antara kesalahan yang boleh dilaporkan termasuklah perbuatan merokok di dalam restoran dan bermain judi nombor ekor.
“Sekiranya masyarakat ternampak anggota polis yang menghisap rokok di dalam restoran, mereka boleh mengambil bukti bergambar dan menyerahkan kepada bilik gerakan atau kongsi secara terus di laman Facebook Polis Johor.
“Kita akan ambil tindakan, merokok di dalam restoran merupakan satu kesalahan, lebih lagi mereka anggota polis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program High Profile Policing di pusat beli belah Midvalley Southkey, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas aduan orang awam berhubung salah laku anggota polis yang dilakukan secara terang-terangan khususnya menghisap rokok di dalam restoran.
Tambah Ayob Khan lagi, selain daripada perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang, ia juga mencemarkan imej polis sekiranya dilakukan dengan memakai pakaian seragam atau pakaian polis lain.
“Polis lagi lah tak boleh, mereka sepatutnya menegakkan undang-undang bukan melanggar undang-undang.
“Jika ada bukti kita akan ambil tindakan, tiada layanan istimewa sama ada mereka polis atau bukan polis, jika langgar undang-undang kita akan tangkap,” ujarnya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dan mengedarkan risalah berkaitan pencegahan jenayah komersil kepada pengunjung.- K! ONLINE