BLOUNT, ALABAMA – Beratus-ratus bungkusan syarikat kurier, FedEx ditemui dibuang di dalam gaung di sebuah kawasan pedalaman di Alabama, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Pejabat Syerif Daerah Blount dalam satu hantaran di laman Facebook menyatakan, kira-kira 300 hingga 400 bungkusan pelbagai saiz itu ditemui di sebuah tanah persendirian pada Rabu lalu.
“Kami berharap akan menemui jawapan mengenai perkara ini tidak lama lagi, ” demikian tulis pembantu syerif pada hantaran itu.
Selepas dihubungi oleh pihak berkuasa, FedEx menghantar beberapa pemandu trak untuk mengambil bungkusan-bungkusan tersebut.
Pihak berkuasa tidak membuat spekulasi mengenai siapa yang mungkin bertanggungjawab ke atas bungkusan yang dibuang itu, namun mengucapkan terima kasih kepada pekerja FedEx itu kerana datang bekerja ketika cuti Hari Kesyukuran di AS.
Syerif Daerah Blount, Mark Moon berkata, bungkusan itu telah berada di tempat kejadian dalam tempoh 24 jam ketika ditemui.
“Gaung itu tidak begitu dalam dan pekerja-pekerja FedEx akan dapat membawa semula bungkusan-bungkusan tersebut ke dalam trak mereka,” kata Moon. – AGENSI