PETALING JAYA – Program Wanita Bangkit Berniaga (WBB) mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima penyertaan hampir 40,000 peserta berbanding sasaran awal sekitar 2,000 orang sahaja.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, inisiatif Wanita Bangkit digerakkan bagi membantu golongan wanita yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 bagi menjana pendapatan dengan berniaga.
“Saya melihat ramai wanita yang terjejas di negara ini disebabkan hilang semangat untuk meneruskan kehidupan kerana di buang kerja atau terlibat dalam kes penceraian sehingga mengalami tekanan emosi.
“WBB ini bukan sekadar untuk wanita bangkit berniaga, tetapi supaya mereka ini tidak berasa keseorangan dan mendapat sokongan bagi menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam penampilan khasnya pada hari kedua program WBB di bawah inisiatif Wanita Bangkit (KPWKM) anjuran RichWorks secara maya hari ini.
Rina berkata, usaha WBB ini juga dilihat sebagai pemangkin bagi golongan wanita untuk bangkit serta menjadi individu yang lebih kreatif dan inovatif.
“Saya berharap melalui usaha ini, golongan wanita di seluruh negara dapat kembali berdiri dan berlari bersama-sama wanita di luar sana bukan sahaja dalam berniaga malah membawa aspek kehidupan yang lebih positif,” ujarnya. – K! ONLINE