SAO PAULO, BRAZIL – Seorang model dari Brazil yang berkahwin dengan dirinya sendiri pada September lalu memilih untuk ‘bercerai’ selepas 90 hari kerana telah menemui cinta baharu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Perkahwinan Cris Galera, 33, menjadi tajuk utama akhbar pada September lalu selepas dia meraikan perkahwinan dengan dirinya sendiri yang digelar ‘sologami’ di hadapan sebuah gereja di Sao Paulo.
Wanita itu kini memutuskan untuk bercerai selepas jatuh cinta dengan orang lain. Dia bagaimanapun enggan mendedahkan pasangannya itu.
Menurut Galera, dia akan menunggu sehingga proses perceraiannya selesai dan rasmi sebelum terbang ke London untuk menjalani sesi penggambaran.
Dia yang mempunyai lebih 191,000 pengikut di Instagram mengambil keputusan untuk mengahwini diri sendiri selepas sering gagal dalam perhubungan.
“Lelaki sukar untuk setia kepada seorang wanita. Mereka selalu mahu bercinta dengan ramai wanita dalam satu-satu masa,” katanya. – AGENSI