SAINT JOHN’S, ANTIGUA DAN BARBUDA – Seorang ibu di Antigua dan Barbuda menjerit keseronokan apabila memenangi dua keping tiket pelancongan ke angkasa lepas tajaan firma Virgin Galactic, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Keisha Schahaff, 44, teruja apabila pemilik syarikat angkasa lepas itu, Richard Branson membuat kejutan di kediamannya di Antigua untuk memberikan dua tiket pengembaraan ke angkasa lepas dengan menaiki kapal angkasa Virgin Galactic.
Setiap keping tiket itu adalah berharga AS$450,000 (RM1.9 juta).
“Anda akan pergi ke angkasa lepas!” kata Branson kepada Schahaff.
Beberapa minit sebelum lawatan mengejut oleh Branson, Schahaff memberitahu jutawan itu dan beberapa orang ahli pasukannya menerusi sidang maya aplikasi Zoom bahawa dia sudah lama mengimpikan kehidupan di luar Bumi.
“Saya percaya mimpi boleh menjadi kenyataan, mungkin bukan pada ketika ini, namun ia akan menjadi kenyataan satu hari nanti,” katanya sambil menambah, anak perempuannya mahu turut serta dalam pengembaraan itu.
Schahaff memenangi hadiah tersebut dengan mengatasi hampir 165,000 peserta lain yang menyertai undian tersebut. Undian dikenali sebagai Space for Humanity itu bertujuan untuk ‘menjadikan angkasa lepas boleh diakses kepada semua manusia’.
Tarikh penerbangan wanita itu belum ditetapkan, namun Schahaff akan menyertai seramai 700 individu lain yang telah membeli tiket pelancongan angkasa lepas itu. – AGENS