PETALING JAYA – Usahawan dan juga penyanyi Ahmad Iqbal akhirnya ‘meninggalkan’ Malaysia apabila telah berangkat ke Jakarta, Indonesia, semalam.
Iqbal atau nama lengkapnya Ahmad Iqbal Zulkefli berkata, dia membawa diri dan akan tinggal di negara seberang atas alasan mencari ketenangan selain urusan kerja.
“Selamat tinggal Malaysia. Bermula hari ini (semalam), saya akan tinggal di Indonesia. Memang atas urusan kerja, namun saya harus bawa diri. Saya pamit (mengucapkan selamat tinggal),” ujarnya menerusi Instagram.
Dalam pada itu, Iqbal yang baharu sahaja melancarkan single berjudul Hujan pada 1 November lalu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah banyak menyakiti hatinya dan berharap dapat menemui kebahagiaan yang dicari di Indonesia.
“Terima kasih kepada semua yang menyakiti saya. Terima kasih kepada yang masih sudi mendoakan. Saya berharap di Indonesia, saya boleh bahagia dan bertemu dengan orang yang boleh menyembuhkan luka (mengubati hatinya),” kata Iqbal.
Menerusi hantara dalam InstaStory miliknya, bekas pembantu peribadi kepada usahawan Datuk Seri Vida itu turut menyatakan bahawa dia sedang mencari sebuah kediaman berharga tidak melebihi AS$1 juta (RM4.24 juta) di Indonesia untuk dibeli.
“Siapa jumpa rumah untuk dijual di Jakarta, mohon beritahu saya. Rumah sederhana sahaja tidak lebih AS$1 juta (RM4.24 juta). Sekadar rumah berteduh saya di sini (Indonesia),” soal Iqbal.
Terdahulu, Kosmo! pada 18 November lalu melaporkan Iqbal pernah meluahkan rasa kesal apabila terus menjadi mangsa kecaman netizen sehingga dia dihina dengan gurauan sensitif tanpa belas kasihan sehingga menganggap dirinya tidak lagi sesuai untuk menetap di Malaysia.
Semuanya berpunca apabila Iqbal pernah beberapa kali menuai kebencian netizen bermula dengan kisah ‘pernikahan tak jadi’ dengan Vida
Pasangan itu merancang mendirikan rumah tangga pada Disember akan datang tetapi berdepan pelbagai konflik seperti tidak mendapat restu kedua-dua anak Vida dan beberapa konflik lain. – K! ONLINE