fbpx

Anne, Darling Ngasri mengubat rindu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANNE dan kakaknya, Darling Ngasri.

SUDAH begitu lama kelibat pasangan adik-beradik, Darling dan Datin Anne Ngasri tidak menghiasi naskhah televisyen. Ingatan khalayak kembali berpaut kepada Anne dan Darling tiba-tiba tercetus apabila gambar mereka adik-beradik menjadi tular baru-baru ini.

Tambah menjadikan rakaman sewaktu pertemuan bersama keluarga itu menjadi perhatian kerana mereka empat beradik, Anne, Darling, Bell dan Naszeli Ngasri atau dikenali sebagai Boy kelihatan tidak dimamah usia.

Walhal, rata-rata khalayak yang membesar bersama mereka sudah berubah seiring waktu.

Darling dan Anne ketika ditemui di set penggambaran drama Alamak Lagi-Lagi Dia baru-baru ini nyata terkejut dengan reaksi netizen.

Mereka tidak menyangka gambar yang dianggap biasa itu menjadi viral. Darling atau nama sebenarnya, Nasreen Ngasri berasa lucu apabila digelar awet muda sedangkan dia dan adik-beradik yang lain sudah berstatus ‘nenek’ dan ‘datuk’.

“Sebenarnya memang kami jarang mengambil gambar berempat, tetapi tidak sangka menerima reaksi sedemikian.

“Sejujurnya saya tidak rasa muda sebaliknya semakin tua, sekarang jika hendak berlakon pun perlu lihat watak yang sesuai. Saya sudah berusia 38 tahun, Anne, 37, Bell, 41, dan Boy, 47.

“Lagi membuatkan saya berasa lucu, kami semua sudah menjadi nenek dan datuk kerana anak sulung Boy sudah ada anak,” jelas Darling sembil ketawa.

Bercakap tentang awet muda, Anne atau nama sebenarnya, Naszriah Ngasri menjelaskan, sebagai ibu anak enam, dia tidak pernah berasakan dirinya muda walaupun fizikalnya tidak banyak berubah.

HATI Darling terbuka untuk kembali berlakon selepas ditawarkan watak secara bidan terjun dalam drama Alamak Lagi-Lagi Dia yang merupakan buah tangan pertama produksi AN Universal Sdn. Bhd. milik adiknya, Anne Ngasri.

“Tidak ada petua awet muda sebab saya sendiri sudah berasa tua. Mungkin saya jenis periang dan tidak terlalu banyak berfikir perkara negatif menyebabkan orang rasa saya muda,” ujar Anne.

Tambah isteri kepada Datuk Sumali Reduan itu, dia cukup terharu melihat reaksi positif netizen dan tidak menyangka mereka adik-beradik masih memiliki peminat.

Selain abangnya Bell Ngasri, 41, yang masih aktif dalam lakonan, Anne sudah begitu jarang muncul dalam drama dek komitmen terhadap keluarga, manakala Darling pula sibuk sebagai penerbit.

“Memang Bell yang lebih dikenali kerana dia sahaja yang masih aktif berlakon. Saya tidak sangka peminat masih ingat drama lakonan saya dan meluahkan kerinduan untuk melihat saya kembali berlakon.

“Ada yang kata rindu dengan drama Dunia Baru dan Cili Padi, tetapi sekarang saya sudah menjadi ‘cili boh’ (ketawa).

“Sebenarnya, dua drama itu memang meninggalkan kesan buat saya

“Apapun terima kasih kepada peminat kerana masih mengingati kami adik-beradik.

“Komen-komen positif mereka menjadikan kami semua lebih bersemangat dan berasa sangat dihargai,” tutur anak kelima daripada enam beradik itu.

Selain Bell, Darling dan Anne, abang mereka, Naszeli Ngasri atau lebih dikenali sebagai Boy juga seorang pelakon sekitar 1980-an dan 1990-an.

BERGELAR ibu kepada enam orang anak, Anne Ngasri seperti tidak pernah tua.

Kembali berlakon

Darling pula sudah hampir 10 tidak beraksi di depan kamera disebabkan kesibukan sebagai penerbit menguruskan produksinya sendiri, NS Star Sdn. Bhd.

Namun, hatinya terbuka untuk kembali berlakon selepas ditawarkan watak secara bidan terjun dalam drama Alamak Lagi-Lagi Dia yang merupakan buah tangan pertama produksi AN Universal Sdn. Bhd. milik adiknya, Anne Ngasri.

“Ada pertukaran saat akhir apabila beberapa orang pelakon kena kuarantin. Jadi, bagi memudahkan kerja semua orang, saya sahajalah yang berlakon,” ujar Darling.

Biarpun banyak pengalaman, namun selepas hampir 18 tahun berada di kerusi penerbit, Darling mengakui agak kekok untuk berada di depan kamera.

“Mulanya agak kekok untuk saya mendapatkan kembali momentum sebagai pelakon. Pengarah, Amor Rizan terpaksa membimbing saya supaya berada di landasan yang betul.

“Lama-kelamaan saya mula rasa seronok dan kembali bersemangat untuk berlakon. Cuma selepas ini jika mahu berlakon saya yang perlu tawarkan diri,” tutur Darling sambil ketawa.

GAMBAR anak seni empat beradik (dari kiri) Anne, Boy, Bell dan Darling yang tular baru-baru ini apabila dikatakan seperti tidak dimamah usia.

Menurut Darling selama ini bukan tiada tawaran lakonan daripada produksi lain, namun komitmen sebagai penerbit, artis rakaman suara dan tugas sebagai ibu kepada anaknya, Nur Nashrullah, 10, membataskan dirinya untuk berlakon.

Sama seperti orang lain, produksi miliknya turut terjejas apabila tidak dapat menjalani penggambaran selama berbulan-bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sungguhpun begitu, Darling bersyukur produksi miliknya mampu bertahan sementelah terdapat produksi lain terpaksa gulung tikar.

“Saya tahu ada produksi yang gulung tikar dan terpaksa jual syarikat kerana tidak dapat bertahan dengan kos bulanan.

“Tiada kerja dan projek bermakna tiada wang yang masuk dalam syarikat.

“Produksi saya dapat bertahan mungkin kerana saya yang lakukan semua kerja sendiri daripada pengurusan syarikat, skrip dan lakonan.

“Jadi, saya tidak memerlukan begitu ramai pekerja,” ujarnya yang akan menerbitkan sebuah filem pendek animasi pada tahun depan.

Mentor

Berbicara tentang langkah menjadi seorang penerbit menerusi syarikat produksi AN Universal Sdn. Bhd. Anne menjelaskan, kejayaan Darling mendorongnya untuk terjun ke dalam perniagaan sama.

Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad sebagai pelakon dan bimbingan daripada Darling sebagai mentor, Anne yakin dengan keputusannya untuk bergelar seorang penerbit.

“Darling merupakan kakak, sahabat baik dan mentor saya. Setiap apa yang ingin saya lakukan pasti meminta pandangan daripadanya.

“Dia jugalah yang memberi idea untuk saya membuka produksi sendiri. Walaupun bukan mudah kerana menjadi pelakon dan penerbit cukup berbeza, tetapi dengan tunjuk ajar kakak, saya yakin mampu lakukan dengan baik,” kata Anne.

POPULAR sebagai pelakon drama dan iklan sejak zaman kanak-kanak, Darling kini selesa bergelar penerbit.

Selepas drama sulungnya Alamak Lagi-Lagi Dia sebanyak 30 episod untuk siaran RTM, Anne melangkah laju apabila bakal menerbitkan filem pertama pada tahun depan.

“Alhamdulillah, saya mendapat geran Finas dan akan memulakan penggambaran filem pada tahun depan.

“Seperti drama pertama saya, filem tersebut juga akan diarahkan oleh Amor Rizan,” tutur Anne.

Anne yang juga ibu kepada enam orang anak, termasuk seorang anak tiri itu memberitahu, dia kini menjadikan karier lakonan sebagai hobi sahaja.

Komitmen menguruskan keluarga dan perniagaan membataskan dirinya untuk aktif berlakon seperti dahulu.

“Setiap tahun saya pasti akan berlakon satu atau dua drama untuk melepaskan rindu. Selebihnya saya fokus kepada keluarga.

“Namun, jika ini ada tawaran berlakon telefilem yang penggambarannya tidak begitu panjang, saya teringin untuk melakukannya,” ujar Anne.

Berkongsi tentang kehidupan peribadinya, terang Anne jadual hariannya begitu padat kerana menguruskan sendiri kenam-enam anaknya.

Menerusi perkahwinan pertama bersama Abdul Wafi Hassan, Anne dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 15, Abdul Wafri,13, dan Nazharah Afroza, 11.

Perkahwinan keduanya bersama Datuk Mohd. Sumali Reduan menganugerahkan Anne dua cahaya mata, Sufi Harraz,8, dan Nefa Naura, 3, serta seorang anak tiri, Sufian Hakim, 16.

“Hari-hari sibuk uruskan hal sekolah anak-anak. Meskipun penat, saya gembira dengan kehidupan yang dimiliki hari ini.

“Alhamdulillah, suami tidak pernah menghalang minat saya, malah sentiasa memberikan sokongan.

“Dalam kesibukan, sesekali saya masih boleh berlakon, menerbitkan drama dan filem serta menjalankan perniagaan tudung. Jadi saya amat bersyukur kerana dapat melakukan pekerjaan yang diminati,” luah Anne menutup bicara.

Drama Alamak Lagi-Lagi Dia merupakan karya adaptasi novel nukilan Mazni Aznita sebanyak 30 episod membariskan lakonan Darling Ngasri, Anne Ngasri, Hariz Hamdan, Iman Zulkarnain, Wafariena Roslan dan Nazzaty Rusli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI