SEREMBAN – Nasib seorang wanita, Jahidah Nordin, 43, yang hamil dan koma selepas menjadi mangsa pukul suaminya pada Mei lalu belum diketahui lagi sama ada dia selamat atau tidak apabila dijangka melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada 1 Disember ini.
Selepas hampir enam bulan peristiwa hitam itu, Jahidah, 43, yang kini dijaga sepenuhnya oleh adiknya, Fauziah Nordin, 40, menunjukkan perkembangan positif dan bayi dalam kandungan membesar dengan baik.
“Doktor pakar sudah sahkan Kak Jahidah akan dibedah (melahirkan anak) pada 1 Disember ini, tetapi risikonya amat tinggi dan boleh membawa kematian.
“Kak Jahidah telah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sejak 22 November lalu tetapi kami tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Jelasnya, doktor memaklumkan kakaknya bakal berhadapan pelbagai komplikasi dan pembedahan bersalin nanti akan turut diawasi Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Ini disebabkan keadaan kakak yang tidak boleh respon dan juga ‘base line’ (otaknya) memang sudah rosak, ada pendarahan.
“Semasa pembedahan nanti, kakak akan dibius penuh dan peluang untuk sedar semula agak berisiko tinggi kerana keadaan otaknya, namun doktor akan terus mengawasi tahap oksigennya,” katanya.
Berita Berkaitan: Suami kejam dicekup selepas 38 hari
Fauziah memberitahu, antara kemungkinan komplikasi yang akan dialami kakaknya ialah respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiac arrest (jantung terhenti) dan kematian.
Dalam nada hiba, Fauziah hanya mengharapkan perkara terbaik untuk kakaknya dan bayi lelaki yang bakal dilahirkan nanti.
Berita Berkaitan: Isteri hamil parah dibelasah suami
Sementara itu, menerusi perkongsian Fauziah di media sosial Tiktok @ziahzara15 semalam, dia berasa sebak membersihkan bilik Jahidah dan tidak pasti sama ada kakaknya akan balik seperti sebelum ini.
“Walaupun sebak hati bersihkan bilik kakak, tak pasti kakak akan balik atau tidak seperti sebelum ini, sedia terima semua kemungkinan risiko pada kakak, tak mustahil kakak akan balik ke bilik dengan bayi.
“Walaupun risiko sangat tinggi dan boleh bawa kematian kepada kakak, tapi kakak mesti kuat untuk bela nasib kakak pada lelaki yang buat kakak menderita ke hukuman paling berat dan baby juga perlukan kakak,” luahnya.
Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.
Jahidah pada mulanya dimasukkan je ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.
Suaminya, Rosmaini Abd. Raof kemudian telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 17 Jun lalu. -K! ONLINE