ATURAN perjalanan lakonan Yuna Rahim kelihatan tenang, jauh daripada kontroversi, bahkan jarang disinggahi kisah sensasi sehingga menjadi kudis kepada dirinya.
Tidak terlalu menyerlah, namun masih ada, begitulah sedikit ringkasan karier Yuna sebagai anak seni.
Kini, dia melangkah setapak lagi apabila diberi kesempatan untuk menggalas tanggungjawab sebagai heroin bagi drama terbaharu Diari Seorang Suami bergandingan bersama Afieq Shazwan dan Keith Foo.
Memegang watak sebagai Neesa, anak kelahiran Pulau Pinang itu mengakui karakter berkenaan agak berat baginya kerana memerlukan pelbagai lapisan emosi untuk dihidupkan.
“Bukan mudah nak bawa watak ini sebab memerlukan peralihan emosi yang banyak.
“Paling sukar semestinya menjadi seorang remaja yang berkahwin pada usia muda.
“Perkara itu memerlukan saya melakukan banyak rujukan bagi menghidupkan watak dengan baik,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Selain itu, pemilik nama penuh Shafiqah Husna Abd Rahim itu turut menjadikan aktres Sharifah Amani sebagai individu rujukan untuk menjayakan watak tersebut.
“Saya banyak jadikan rakan seindustri sebagai rujukan. Salah seorangnya ialah pelakon senior, Sharifah Amani. Dia antara aktres yang banyak dapat watak seperti ini iaitu remaja bawah umur dan kahwin muda.
“Alhamdulillah setakat ini sambutan sangat baik daripada penonton yang hadir daripada setiap lapisan umur walaupun dikecam kerana menjadi pelajar sekolah berambut warna perang,” tutur aktres berusia 26 tahun itu.
‘Ya, saya memilih’
Sudah lumrah menjadi seorang pelakon, pasti mengimpikan 1,001 jenis watak.
Begitu juga dengan Yuna yang pernah terkenal menerusi drama Angkara Cinta sekitar tahun lalu.
Ujar Yuna, watak impiannya yang masih belum tercapai ialah sebagai pembunuh bersiri.
“Watak ini tidak baik pun tetapi saya teringin menjayakan watak begitu. Saya nak tengok dan cabar kemampuan diri apabila memegang watak antagonis berat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia juga tidak menafikan sikapnya yang agak cerewet dalam soal pemilihan watak dan penerimaan tawaran untuk dijayakan dalam mana-mana naskhah.
Jelasnya, menjadi seorang yang selektif sangat penting untuk memastikan dirinya lebih versatil serta tidak melakukan hal yang sama berulang kali.
“Ya, saya mengaku memilih untuk menjayakan mana-mana karakter sebab tak mahu jalan cerita yang sama sahaja.
“Nanti bila lihat semula perjalanan seni sebagai pelakon, nampaklah ada kepelbagaian.
“Selain itu, saya juga nak elak daripada dicop sesuai dengan satu jenis watak sahaja. Contohnya muka awet muda, sering diberi tugas sebagai pelajar sekolah, jadi situasi sebegitulah yqng membuatkan saya lebih memilih sekali gus mengembangkan lagi kemampuan diri,” jelasnya.
Gosip murahan
Hari ini, terdapat segelintir selebriti tanah air yang secara sengaja atau tidak, gemar mencetuskan kontroversi atau gimik murahan untuk meraih perhatian.
Tidak bersetuju dengan cara tersebut, Yuna bertegas, tidak akan sesekali terjebak dalam situasi sebegitu hanya kerana ingin namanya dikenali ramai sekelip mata.
“Secara peribadi, rasanya saya tidak memerlukan kontroversi, gimik murahan untuk menaikkan nama.
“Cukuplah orang kenal siapa Yuna Rahim dan bakat yang ada.
“Tidak perlu kejar pun semua itu. Lagi dikejar, lagi susah nak menjadi. Oleh itu, lebih baik menjadi diri sendiri sahaja,” nasihatnya seraya menutup perbualan.