fbpx

Tindakan tidak bertanggungjawab adakan PRU-15 sekarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan desakan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan PRU perlu dilihat berdasarkan perkembangan kes positif Covid-19 yang membimbangkan dan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital serta kemunculan varian baharu, B.1.1.529 di  Afrika.

“Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang mana pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa PRU boleh dielakkan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tidak dapat dielakkan kerana tempoh pentadbiran sudah tamat.

“Bagi PRN Melaka pula, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan maka ia tidak dapat dielakkan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa (PRU-15) perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau juga ada menyuarakan perkara itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan PRN Melaka.

“Saya cakap dengan Perdana Menteri semalam, kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum. Suka atau tidak kita tunggu sampai Julai nanti sebab perjanjian (persefahaman kerajaan dan pembangkang) sampai Julai,” katanya.

Susulan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan PRU-15 tidak harus diadakan awal bagi memberi peluang kepada pengundi 18 terlibat pada PRU kali ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI