PETALING JAYA – Tiga individu ditahan dalam serbuan berasingan kerana memiliki dadah jenis ganja di Bandar Sunway Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, seorang suspek wanita dan lelaki masing-masing berusia lingkungan 20-an telah ditahan di tepi jalan di Bandar Sunway pada pukul 10.30 malam.
“Hasil daripada pemeriksaan, polis telah menjumpai satu ketulan mampat dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran berat sebanyak 940 gram yang dipegang oleh salah seorang suspek.
“Hasil siasatan lanjut, polis telah ke rumah suspek di Bandar Sunway dan menjumpai dua lagi ketulan dipercayai dadah yang sama dengan anggaran berat sebanyak 210 gram di dalam sebuah bilik”, katanya.
Dalam serbuan berasingan di kawasan sama, polis turut berjaya menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 30-an pada pukul 11.10 malam.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis menjumpai dadah jenis ganja dengan anggaran berat sekilogram di dalam sebuah bungkusan kotak.
“Siasatan lanjut di rumah suspek pula mendapati sebanyak lima ketulan dadah yang sama dengan anggaran berat sebanyak 618 gram di dalam sebuah bilik”, ujarnya.
Abd. Khalid berkata, siasatan akan dijalankan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Selain itu, pihak polis juga mengalukan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat memaklumkan kepada polis melalui panggilan di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut. K!ONLINE.