fbpx

SOP kedai makan sudah ke ‘dasar laut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR AZIMI (duduk) bertanyakan sesuatu kepada pelanggan di sebuah kedai makan ketika melakukan pemantauan di sekitar Kuantan baru-baru ini.

KUANTAN – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengekang penularan Covid-19 di restoran dan kedai makan bukan sahaja sudah ‘kelaut’ malah dilihat sudah ke ‘dasar laut’ apabila ia tidak diikuti sebilangan masyarakat.

Berdasarkan pemantauan Kosmo! di sekitar Temerloh, Kuantan dan Bentong mendapati ramai pelanggan kedai makan yang tidak mematuhi SOP seperti tidak menggunakan MySejahtera dan tidak melakukan saringan suhu.

Malah pemilik dan pekerja restoran sendiri juga dilihat melanggar SOP apabila tidak memakai pelitup muka yang amat penting dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus mengakui pelanggaran SOP di restoran berlaku melibatkan pelanggan dan juga pekerja kedai makan yang dibimbangi boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya sendiri mendapati terdapat pekerja kedai makan yang tidak memakai pelitup muka dan pelanggan yang masuk ke kedai juga ada yang tidak melakukan saringan termasuklah mendaftar MySejahtera.

“Di sebuah kedai seorang pelanggan didapati ‘dine in’ walaupun tidak lengkap dua dos vaksin, terketar-ketar dia buka MySejahtera. Saya tanya tuan kedai kenapa benarkan dia masuk dan katanya pelanggan cakap sudah cucuk, sebenarnya tiada siapa yang semak dipintu masuk.

“Masyarakat sudah alpa tentang SOP, barangkali SOP bukan lagi ke laut tetapi sudah jatuh ke dasar laut, jadi jangan salahkan kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia jika kes melonjak semula,”katanya di sini, hari ini.

Menurut Nor Azimi SOP yang dilaksanakan kerajaan masih lagi relevan dan perlu dipatuhi dalam mengekang pandemik Covid-19 selain pengambilan vaksin yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dan Akta 342 masih berkuatkuasa walaupun pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan pada masa ini.

Ujarnya dari Januari hingga 20 November lalu Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) telah mengeluarkan sebanyak 1,849 kompaun di bawah Akta 342 dengan nilai kira-kira RM3.65 juta. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI