fbpx

Ramalan ‘panas’ Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / SHIDDIEQIIN ZON

SUHU bola sepak tanah air ketika ini boleh dikatakan mendidih 100 darjah Celsius dek kehangatan saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia malam ini.

Empat pasukan Liga Malaysia yang berentap untuk memburu tiket ke pentas final saingan berprestij tersebut iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Melaka United dan KL City FC.

Berdasarkan keputusan separuh akhir pertama Ahad lalu, JDT diikat 1-1 oleh TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, manakala KL City menyalahkan sendiri akibat kepenatan ketika seri 1-1 ketika menentang Melaka United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Keputusan itu menyaksikan keempat-empat pasukan masih memiliki harapan untuk melangkah ke final meskipun ada yang memiliki kelebihan dan sebelah pihak lagi perlu bekerja lebih keras mengubah kekurangan menjadi lonjakan.

Bak kata jurulatih legenda Jerman Barat, Sepp Herberger yang menyebut; Der Ball ist rund und das Spiel dauert 90 Minuten (Bola itu bulat, perlawanan masih ada 90 minit). Jadi, apa-apa sahaja boleh berlaku dan berubah dalam tempoh 90 minit malam ini.

Benar, di atas kertas JDT dan Melaka United sudah memiliki kelebihan bekalan satu gol di tempat lawan, kelebihan besar dalam format perlawanan timbal balik.

Bagi JDT, aksi separuh akhir kedua berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sekali gus kelebihan buat skuad Harimau Selatan bermain di laman sendiri apatah lagi dengan sorakan penonton tuan rumah apabila melayani kunjungan skuad Sang Penyu.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi membuak-buak TFC kendalian Mohd. Nafuzi Zain, rasanya anak-anak buah Benjamin Mora tidak boleh mendabik dada kerana Jordan Mintah, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Mohd. Faiz Mohd. Nasir berpotensi merobek gawang JDT.

Kelincahan dan larian kencang pemain TFC ini mampu mengundang kesukaran kepada benteng pertahanan JDT jika terleka, namun skuad Harimau Selatan sudah tentunya bukan calang-calang untuk membenarkan perkara itu berlaku. Ada kelibat Aidil Zafuan Abd. Razak, Shahrul Saad, Matthew Davies mahupun Shane Thomas Lowry di benteng nanti.

Jadi, aksi antara JDT dan TFC selama 90 minit malam ini adalah berbaloi untuk disaksikan.

Pada satu lagi separuh akhir kedua malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan iaitu Melaka United dan KL City masing-masing mahu melakar sejarah.

Kelebihan memihak kepada skuad Sang Kancil bimbingan Zainal Abidin berdasarkan prestasi anak-anak buahnya selain bekalan satu gol di tempat lawan hasil aksi pertama. Sudah pastinya Melaka United akan mempertaruhkan Sony Norde untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan KL City nanti.

Meskipun pengendali skuad Warga Kota, Bojan Hodak seolah-olah cuba mengibarkan bendera putih selepas kelihatan longlai pada aksi pertama apabila mendedahkan anak-anak buahnya sudah keletihan, namun ia dianggap tidak lebih kepada perang psikologi.

Apa pun, ini cuma sebahagian daripada hujahan dan ramalan peminat bola sepak, kita tunggu dan saksikan sama ada apa yang ada dalam benak masing-masing termakbul malam ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI