fbpx

Pembonceng wanita maut dilanggar lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMALANGAN melibatkan sebuah lori dan motosikal di jalan Seremban - Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) menghala ke Paroi di sini malam tadi.

SEREMBAN – Seorang pembonceng wanita maut selepas motosikal dinaikinya dilangggar oleh sebuah lori dalam kemalangan di jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran susur keluar jejambat Lebuh Raya Kajang Seremban (Lekas) menghala ke Paroi di sini kira-kira pukul 11 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superitendan Mohd. Rosli Ishak berkata, wanita warga Indonesia itu yang berusia lingkungan 40-an mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori 50 tan tanpa muatan jenis Hanvan yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun seorang diri sedang bergerak terus di lorong kiri dari arah Juasseh menuju ke Seremban.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Honda Dash yang ditunggang seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun bersama seorang pembonceng wanita dari arah kiri telah menyusuri susur jejambat di lokasi kemalangan lalu masuk ke laluan hadapan lori,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas Mohd. Rosli, pemandu lori tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal yang ditunggang mangsa.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan manakala pembonceng motosikal maut di tempat kejadian.

“Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI