PETALING JAYA – Telatah seekor monyet secara spontan memilih daun ketum berbanding buah-buahan untuk dimakan dipercayai berlaku di Thailand tular di media sosial baru-baru ini.
Pengendali laman Twitter @jnmalaysia berkongsi di dalam video itu terlihat, aksi monyet itu bersahaja memakan daun ketum yang diberi oleh seseorang dan tidak menghiraukan sebiji pisang yang berada di hadapanya.
“Mereka dah lama rasa dan makan, kita sahaja yang lalai,” tulis pengendali akaun Twitter menerusi ruangan kapsyen video hantaran tersebut semalam.
Hantaran itu menerima reaksi yang pelbagai dengan kebanyakan pengguna media sosial menyifatkannya sebagai melucukan selain ada yang ingin pihak berkuasa menangkap haiwan tersebut kerana menyalahi undang-undang.
“Monyet pun sekarang dah tak makan buah, mungkin disebabkan harga barangan naik mendadak sebab itu dia malas nak makan buah,” kata @Apakataharini.
“Mungkin ini kesan utama dari harga barangan sayur naik mendadak, sebab monyet pun dah mula makan daun ketum,” ujar @Roslanxxcx.
“Walaupun kejadian ini dekat Thailand tapi ‘effect’ (kesan) harga barangan naik ke seluruh barangan di Malaysia, apa-apa pun saya harap monyet ini dalam keadaan stabil selepas makan daun ketum,” jelas @Tngcakera. – K!ONLINE