KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) bakal mengadakan latihan khas (induction course) terlebih dahulu kepada pekerja-pekerja asing sebelum bekerja di negara ini sebagai usaha mengurangkan masalah buruh paksa.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, usaha tersebut perlu dilakukan kerana masalah utama isu buruh paksa yang berlaku adalah kerana masalah hubungan antara pekerja asing dengan pihak kerajaan serta agensi terlibat.
“Latihan khas ini akan kita tekankan terutamanya pelajari adat resam serta adat negara ini dan bagaimana mereka boleh menghubungi pihak kerajaan tanpa datang ke pejabat buruh bagi melaporkan masalah ini.
“Kita lihat salah satu sebab isu ini berlaku adalah kerana hubungan antara pekerja asing dengan pihak kerajaan, jika pekerja tempatan mungkin tiada masalah, jika pekerja asing jarak mereka dengan kerajaan amat jauh terutamanya dari segi bahasa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pelan Tindakan Nasional Berhubung Buruh Paksa (NAPFL) di Hotel Majestik, Kuala Lumpur.
Pelan tindakan NAPFL ini telah dibangunkan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta 200 peserta daripada pelbagai kementerian dan agensi, wakil industri, wakil persatuan sekerja dan wakil pertubuhan antarabangsa.
Katanya, selain daripada masalah bahasa, cara layanan pekerja asing di pejabat buruh dan tiada masa untuk datang ke pejabat buruh kerana ketiadaan cuti bekerja juga menjadi salah satu masalah isu buruh paksa ini berlaku.
“Sekiranya berlaku isu buruh paksa seperti paksaan kerja lebih masa atau gaji tidak dibayar atau lewat dibayar mereka boleh melaporkannya secara terus ke kementerian,” katanya. – K! ONLINE