fbpx

Krisis politik di Solomon: 1,181 warga Malaysia disahkan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SURUHANJAYA Tinggi Malaysia di Papua New Guinea turut ditauliahkan untuk hal ehwal dua negara jirannya iaitu Kepulauan Solomon dan Vanuatu. – Foto IHSAN WISMA PUTRA

PUTRAJAYA – Kementerian Luar hari ini mengesahkan bahawa kesemua 1,181 rakyat Malaysia yang menetap di Kepulauan Solomon masih berada dalam keadaan selamat.

Wisma Putra memaklumkan, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan terkini di negara pulau itu ekoran krisis politik yang berlaku.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea sentiasa berhubung rapat dengan rakyat kita melalui pejabat Konsulat Kehormat Malaysia di negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, media antarabangsa melaporkan kekacauan akibat rusuhan penduduk meletus di ibu negara Kepulauan Solomon, Honiara dengan banyak bangunan kerajaannya telah dibakar selain perusuh menghancurkan pelbagai premis perniagaan dan sebuah balai polis serta cuba menyerbu Parlimen dalam usaha menggulingkan Perdana Menterinya, Manasseh Sogavare.

Situasi tegang tersebut menyaksikan kerajaan negara bekas jajahan British di Lautan Pasifik itu memohon bantuan pasukan pengaman dari jirannya, Australia bagi memulihkan keadaan.

Protes penduduk dari wilayah Malaita itu pada mulanya berlangsung secara aman kerana membantah sikap layanan tidak adil oleh kerajaan pusat terhadap mereka sejak sekian lama.

Bagaimanapun, ia bertukar menjadi ganas menyebabkan banyak sekolah dan kedai komersial di pusat bandar ditutup selain perintah berkurung juga diisytiharkan bagi mengawal situasi.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menjelaskan bahawa terdapat 231 rakyat Malaysia di Honiara, manakala selebihnya 950 orang lagi pula berada di luar kawasan bandar berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI