LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp hilang ‘mood’ untuk meraikan kejayaan anak buahnya menewaskan Porto 2-0 di Liga Juara-Juara selepas ditanya soalan ‘panas’.
Dua gol menerusi Thiago Alcantara dan Mohamed Salah memastikan Liverpool unggul di Kumpulan B dengan rekod kemenangan bersih.
Namun, kemarahan Klopp timbul selepas ada wartawan bertanya soalan berkaitan kenyataan pengurus itu yang menyifatkan Piala Negara-Negara Afrika (ANC) sebagai pertandingan biasa.
Wartawan menganggap kenyataan itu sebagai satu penghinaan kepada pemain, peminat di benua itu dan mendesak pengurus itu meminta maaf.
Bagaimanapun, Klopp mempertahankan komennya itu dengan merujuk akan kehilangan Mohamed Salah dan Sadio Mane yang akan bermain di pertandingan itu pada Januari ini.
“Saya tidak bermaksud seperti itu. Saya tidak tahu kenapa kamu boleh faham sebegitu.
“Tidak pernah terfikir untuk saya katakan Piala Negara Afrika sebagai ‘pertandingan kecil’ atau pun mengatakan benua Afrika adalah kecil.
“Apa yang saya maksudkan, jika kamu melihat keseluruhan sidang media itu, kamu pasti akan faham dengan cara yang betul kerana saya mengatakan tiadanya rehat antarabangsa sehingga Mac ini.
“Saya hanya katakan ia adalah pertandingan. Ia tetap satu pertandingan yang besar dan kami akan kehilangan pemain utama kami,” kata Klopp. – AGENSI