SHAH ALAM – Sikap sambil lewa sebuah kilang memproses ayam di Kajang dekat sini yang membuang sisa ke dalam longkang awam membawa padah apabila diserbu pihak berkuasa, semalam.
Serbuan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pukul 11 pagi hasil aduan orang awam dengan mendapati sisa tersebut hasil cucian lantai dan peralatan memproses ayam.
Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kilang telah beroperasi sejak lima tahun lalu dengan pengeluaran ayam itu keperluan sekitar Lembah Klang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai loji rawatan air sisa yang dikehendaki sebagai satu prosedur mengelak dan mengawal pencemaran sungai.
“Sebaliknya, kilang itu hanya menggunakan sistem perangkap minyak untuk menakung air sisa tersebut sebelum dilepaskan ke longkang di luar kilang.
“Kilang yang terletak di lembangan Sungai Langat itu dibimbangi boleh menyebabkan pencemaran sumber air sekiranya pelepasan air sisa berlaku berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Jelas beliau, sebanyak tiga sampel efluen telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Tambah Nor Aziah, pihaknya juga telah mengeluarkan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi memastikan tindakan pembaikan diambil segera oleh pihak kilang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” tegasnya. -K!ONLINE