PETALING JAYA – Wanita Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini telah membalas kepercayaan pucuk pimpinan melalui kemenangan besar oleh calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini.
Menerusi Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, berkata keyakinan pucuk pimpinan kepada wanita Barisan Nasional pada PRN kali ini telah terbukti dengan empat daripada lima calon Barisan Nasional berjaya memenangi kerusi DUN Melaka.
“Sebagai contoh YB Datuk Kaslom telah merampas kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Norhizam Hassan Baktee atau terkenal dengan jolokan ‘YB Viral’ yang bertanding atas tiket bebas bagi PRN kali ini.
“YB Datuk Khaidirah telah menawan DUN Rim dengan majoriti 1,874 undi, YB Siti Faizah Abdul Azis pula membawa majoriti 1,137 undi di Sungai Rambai dan YB Tuminah Kadi memenangi DUN Pantai Kundor, membawa majoriti dengan 827 undi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, beliau menyeru agar pucuk kepimpinan menjadikan kemenangan calon wanita di PRN Melaka sebagai titik permulaan untuk terus memberikan kepercayaan kepada wakil wanita di pilihanraya akan datang.
“Justeru itu, Wanita UMNO menyeru kepada pucuk pimpinan agar keputusan PRN Melaka dijadikan sandaran dan langkah meletakkan 30 peratus wakil wanita sebagai calon pilihanraya umum ke 15 demi memastikan kemenangan Barisan Nasional yang lebih besar pada PRU 15,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan 21 kerusi. – K! ONLINE