Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JURULATIH Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora sudah terbayang aksi final setelah anak-anak buahnya ada kelebihan gol di tempat lawan menjelang pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC) malam ini.
Mora memberitahu, bekalan satu gol pada aksi pertama ketika seri 1-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu cukup buat skuad Harimau Selatan.
Dalam perkiraannya, pengendali kelahiran Mexico itu mahu JDT mendapatkan gol awal untuk terus memberikan tekanan kepada TFC seterusnya mencerahkan peluang mereka ke final.
Bagaimanapun, Mora sedar berdepan tugas sukar kerana pasukan bimbingan Nafuzi Zain bukan pasukan ‘cap ayam’ setelah Sang Penyu muncul pasukan tunggal meraih kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada tahun ini.
“Tentunya kami akan cuba mendapat gol seawal mungkin dan masa sama mengelak gawang dibolosi. Jaringan awal penting kerana akan menyukarkan lagi laluan pasukan lawan dan perlu dilakukan jika ingin ke final.
“Pemain juga tidak boleh cuai dan terleka kerana TFC dilengkapi jentera serangan hebat. Mereka mempunyai dua pemain sayap yang lincah serta penyerang berbisa, hanya sedikit kesilapan dan kami akan dihukum.
“Itulah yang berlaku pada pertemuan terdahulu dan kami tidak akan biarkan pisang berbuah dua kali. Kami akan menganalisa aksi sebelum ini dan mencari ruang diperbaiki,” katanya kepada pemberita.
Mora memberitahu, antara pemain lawan yang perlu diberikan perhatian ialah Jordan Mintah, Faisal Halim dan Faiz Nasir yang dilihat menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Selatan.
Bagaimanapun, Mora turut meletakkan kepercayaan kepada benteng pertahanan ampuhnya bagi merantai gerakan mereka pada perlawanan malam ini.
“Terengganu adalah pasukan handal dan Nafuzi bijak menggunakan pemain sayapnya yang licik untuk menyelinap dan mengucar-ngacirkan pertahanan serta penyerang import berbisa.
“Bukan mudah untuk mengekang mereka, namun kami ada pertahanan hebat bagi memikul tugas itu. Saya belum putuskan apakah bentuk formasi yang sesuai bagi aksi kedua ini. Sama ada 3-4-3, 4-3-3, 4-2-3-1 atau 4-4-2, kita akan lihat nanti,” ujarnya.