MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya sudah menyerlahkan kemampuan sebenar ketika mempamerkan kebangkitan menundukkan Paris Saint-Germain 2-1 pada aksi di Etihad awal pagi semalam.
Dua gol City yang dijaringkan Raheem Sterling dan Gabriel Jesus berjaya menafikan kelebihan PSG yang membuka tirai jaringan menerusi Kylian Mbappe sekali gus mengesahkan tempat ke saingan pusingan 16 pasukan terbaik selaku juara Kumpulan A.
“Apa yang boleh saya katakan, PSG adalah pasukan yang bagus dan memiliki pemain terbaik. Kami berusaha menjauhkan pemain mereka daripada gawang kami kerana jika tidak, mereka boleh lakukan apa saja.
“Kami gembira layak ke peringkat seterusnya. Tahniah kepada semua orang di kelab ini kerana sudah banyak kali kami berjaya ke peringkat itu (kalah mati).
“Sekarang kami fokus kepada aksi Liga Perdana Inggeris dan cuba membuat persiapan terbaik untuk mara ke peringkat suku akhir pada Februari nanti,” katanya.
Kemenangan itu juga menyaksikan City berjaya membalas dendam kekalahan mereka pada aksi pertama di Parc des Princes pada 29 September lalu selepas tewas 0-2.
Pada aksi kali ini juga, City terpaksa turun tanpa tiga tonggak kreatif mereka, Kevin De Bruyne, Jack Grealish dan Phil Foden yang berdepan masalah kecederaan, tetapi ia tidak membuatkan mereka gagal mempamerkan aksi terbaik.
Kejayaan itu menyaksikan Man. City layak ke peringkat kalah mati buat kali kesembilan berturut-turut selepas ke final pada edisi lalu. – AGENSI