fbpx

Van sekolah haram cat ‘jingga’ kaburi JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hanif (kanan) menunjukkan van sekolah yang dicat warna jingga bagi mengaburi anggota penguatkuasa JPJ dalam operasi bas haram di sekitar Seremban di sini hari ini

SEREMBAN – Segelintir pengusaha van persendirian dikesan cuba mengaburi penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ibu bapa dengan mengecat kenderaan itu berwarna jingga kononnya sebagai van sekolah yang sah dalam operasi bas sekolah haram di sekitar Seremban di sini.

Tinjauan dalam operasi itu mendapati, pengusaha van seolah-olah sanggup menggadaikan nyawa murid dengan membiarkan pemandu van sekolah tidak diiktiraf mengambil dan menurunkan kanak-kanak di sekolah.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan oleh 28 pegawai serta anggota penguatkuasa JPJ sejak 18 November lalu dengan mengesan van sekolah haram yang beroperasi membawa pelajar sekolah secara haram.

“Sepanjang pemerhatian dan risikan selama seminggu, sebanyak 16 buah kenderaan didapati beroperasi tanpa permit sah dan dan tidak melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang sepatutnya dibuat secara berskala enam bulan sekali.

“Malah, pengusaha van persendirian hanya mengecat van dengan warna jingga bagi mengaburi ibu bapa dan lebih berbahaya kenderaan itu tidak mempunyai insurans,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi bas haram di sekitar Seremban di sini.

Jelas Hanif Yusabra, operasi itu bertujuan memastikan setiap kenderaan yang digunakan sebagai van atau bas sekolah dilesenkan secara sah dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Dalam pada itu, Hanif Yusabra berkata, van sekolah haram itu juga dikesan membawa pelajar sekolah melebihi had kapasiti yang ditetapkan bagi setiap kenderaan.

“Mereka (pengusaha) dilihat cuba mengambil penumpang yang ramai untuk mengaut keuntungan lebih.

“Antara alasan diberikan oleh pengusaha van adalah kos yang mana perlu mengikut spesifikasi ditetapkan termasuk cat, sepatutnya masalah pengurusan permit tiada masalah,” katanya.

“Kesalahan yang boleh dikenakan kepada van sekolah haram yang beroperasi tanpa permit yang sah termasuk salah guna lesen kenderaan motor di bawah Seksyen 23(2) APJ 1987 dan tiada perlindungan insurans Seksyen 90(1) APJ 1987,” katanya.

Tambah beliau, JPJ Negeri Sembilan memandang serius kesalahan melibatkan pengusaha van dan bas sekolah tanpa permit kerana memberi risiko kepada pelajar.

“Sehubungan itu, penguatkuasaan dari semasa ke semasa akan dilakukan bagi memastikan semua pengusaha van atau bas sekolah beroperasi mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Prosedur utama perlu dilakukan oleh pengusaha van atau bas sekolah adalah memohon permit di bawah APAD, memiliki lesen kenderaan motor perdagangan dan kenderaan perlu membuat pemeriksaan berkala enam bulan sekali dengan Puspakom,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI