IPOH – Tindakan memuat naik video perlumbaan motosikal haram dalam laman media sosial untuk menunjuk-nunjuk mengundang padah apabila tiga lelaki dicekup polis.
Kesemua mereka ditahan Skuad 42 Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (JSPT IPK) antara 17 hingga 23 November lalu di Teluk Intan dan Ipoh.
JSPT IPK Perak dalam dalam satu kenyataan memberitahu, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap rakaman video tular itu.
Menurut kenyataan itu, lokasi perlumbaan adalah di Lebuh Raya Persisir Pantai Barat (WCE) dekat susur keluar Setiawan di Manjung.
“Satu pelumbaan haram motosikal tular dalam rakaman video yang dimuat naik di laman story Instagram pemilik akaun ‘shafarul.arysad @cu.ebundle’ sejak 16 November lalu.
“KLip video tersebut menunjukkan dua buah motosikal dalam keadaan laju sambil aksi ‘superman’ dengan wang pertaruhan bernilai RM 15,000,” ujar kenyataan tersebut.
Siasatan polis mendapati perlumbaan melibatkan kumpulan Am ulala dan Kecik Super.
Polis kemudian mengesan kedua-dua kumpulan tersebut dan telah berjaya menahan tiga lelaki yang berusia lingkungan 22 hingga 24 tahun di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953.
Dua daripada yang ditahan adalah mekanik manakala seorang bekerja sebagai juruteknik. – K! ONLINE