KEMPEN Piala Malaysia terus dipalit isu pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kalangan penyokong dan kali ini Terengganu Football Club (TFC) menjadi pasukan pertama yang dikompaun.
TFC didapati gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Kesalahan itu dilakukan dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2021 melibatkan TFC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 22 November lalu.
Perkara ini disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam selepas menerima kunjungan daripada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“MFL menerima kunjungan daripada wakil-wakil KKM dan mereka telah menjelaskan situasi berdasarkan siasatan mereka berkenaan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara pasukan TFC dan JDT.
“Satu notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd dan MFL masing-masing dengan nilai RM10,000.
“MFL dan rakan kongsi liga akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada KKM di mana pelaksanaan pematuhan SOP ini adalah sangat penting dalam usaha mengekang rantaian pandemik COVID-19.
“MFL selaku penganjur sangat kesal kerana beberapa insiden pelanggaran pematuhan SOP berlaku dalam kempen Piala Malaysia dan seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Kunjungan itu dilakukan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Petaling, Mohd Ashhurun Rahmat, Mohd Zaid Mohd Nawi dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Kuala Nerus, Ahmad Syazwan Shamsuddin, Lokman Hakim Mohd Jaafar, Wan Muhammad Khairul Anam Waris dan Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jamil Mat.
“Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam virus Covid-19.
“Jika perkara pelanggaran SOP masih berlaku, MFL bimbang kemasukan penonton untuk aksi final TM Piala Malaysia dan saingan Liga Malaysia musim depan akan ditarik balik,” katanya. – K! ONLINE